Rizanizam Abdul Hamid

Kuala Lumpur: Hari penamaan calon Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya (MPPUM) Sesi 2015/2016 berjalan lancar tanpa sebarang bantahan sehingga tamat tempoh bantahan yang berakhir jam 2 petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Induk MPPUM Dr David Asirvatham berkata, ia sekaligus memberi laluan kepada 46 calon bertanding dengan pecahan 37 calon merebut 32 kerusi Fakulti/Pusat/Akademi manakala sembilan lagi calon merebut lapan kerusi umum yang dipertandingkan.

Tempoh bantahan bermula pada jam 12 tengah hari tadi selepas proses penamaan calon secara atas talian atau e-penamaan calon berjalan lancar pada jam 9 pagi hingga 11 pagi.

Proses e-penamaan calon bagi kerusi umum diadakan di Auditorium Kompleks Perdanasiswa manakala bagi calon Fakulti/Pusat/Akademi pula di Fakulti/Pusat/Akademi masing-masing.

Sebanyak 40 kerusi dipertandingkan membabitkan lapan kerusi umum dan 32 kerusi Fakulti/Pusat/Akademi sebelum proses pengundian MPPUM membabitkan 11,768 pelajar yang layak mengundi diadakan secara atas talian (e-undi), Khamis ini.

habis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2015 @ 3:23 PM