BOM mortar yang ditemui di atas bumbung rumah.
BOM mortar yang ditemui di atas bumbung rumah.

Bukit Mertajam: “Ketika itu saya mahu membaiki bumbung, namun terkejut melihat objek menyerupai bom mortar,” kata pesara Zainuddin Ismail, 60, menceritakan detik cemas ketika menemui sebutir bom di atas bumbung rumahnya di Permatang Ara, di sini, kelmarin.

Menurutnya, kehadiran bom itu disedari kira-kira jam 5.30 petang selepas hujan lebat dan angin kencang melanda kawasan rumahnya hingga menyebabkan atap zink rosak.

“Saya bersama menantu lelaki naik untuk membetulkan struktur atap zink yang rosak selepas ditiup angin kencang.

“Ketika membaiki bahagian hadapan bumbung, saya terkejut terlihat objek yang bentuknya hampir sama dengan sebutir bom yang pernah dilihat melalui televisyen,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, dia memanggil menantu lelakinya bagi mengenal pasti objek berkenaan dan selepas yakin ia sebutir bom, mereka menghubungi polis bagi melaporkan penemuan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2015 @ 5:34 AM