BUMBUNG zink rumah Ishak di Kampung Kubang Betong diterbangkan angin kencang dan ribut. FOTO Ihsan Ishak Ibrahim
BUMBUNG zink rumah Ishak di Kampung Kubang Betong diterbangkan angin kencang dan ribut. FOTO Ihsan Ishak Ibrahim
Zuliaty Zulkiffli

Changlun: "Angin kencang disertai ribut yang berlaku petang semalam menyebabkan bahagian atas atap zink rumah berterbangan dan air hujan masuk mencurah-curah ke dalam rumah," kata Ishak Ibrahim, 61.

Dalam kejadian 3.30 petang semalam, Ishak serta 12 ahli keluarganya termasuk anak menantu serta cucunya yang pulang ke rumahnya di Kampung Kubang Betong, di sini, untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri terpaksa melarikan diri dengan keluar dari kediaman itu ketika kejadian ribut berkenaan.

Dalam kejadian itu, kira-kira empat rumah di kampung berkenaan rosak yang kebanyakan bumbungnya diterbangkan angin kencang.

Menurutnya, kejadian angin kencang dan hujan hampir 30 minit sebelum ia menerbangkan atap zink rumahnya itu.

Katanya, tiga bilik di bahagian atas yang menjadi tempat anak-anak serta menantu dan cucunya tidur termasuk tilam, bantal semua habis basah selepas kejadian itu.

BAHAGIAN atas rumah yang rosak selepas atap zink rumah diterbangkan angin kencang dan ribut. FOTO Ihsan Ishak Ibrahim
BAHAGIAN atas rumah yang rosak selepas atap zink rumah diterbangkan angin kencang dan ribut. FOTO Ihsan Ishak Ibrahim

"Saya sempat melaungkan azan sewaktu kejadian berlaku dan angin pada waktu itu terlalu kencang, namun bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat.

"Rumah saya dua tingkat, mujur anak-anak semua masih boleh tidur di dalam dua bilik di tingkat bawah sejurus selepas kejadian.

"Mereka semua nak seronok pulang beraya namun tak sangka pula kejadian ini berlaku dan berharap ia tidak berulang lagi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ishak berkata, dia kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu dengan menganggarkan kerugian berjumlah RM6,000, selain dinding kayu juga turut rosak.

Katanya, setakat ini, atap zink rumahnya masih belum dibaiki namun berharap kejadian sama tidak berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2023 @ 9:40 AM