ANGGOTA APM membantu membersihkan kawasan terjejas ribut di Kampung Ulu Atok. FOTO Ihsan APM
ANGGOTA APM membantu membersihkan kawasan terjejas ribut di Kampung Ulu Atok. FOTO Ihsan APM
Roselan Ab Malek


“SEPERTI hendak terangkat rumah kami apabila angin kencang membadai persekitaran rumah.

“Ketika itu kami sekeluarga hanya mampu berdoa supaya tiada kejadian buruk menimpa kami anak beranak, ” kata Siti Aminah Mokhsin, 52.

Dia antara penduduk yang terjejas akibat ribut yang melanda di empat kampung di Raub, kira-kira 4 petang, semalam.

Siti Aminah berkata, ketika kejadian, dia bersama dua anak perempuannya di ruang tamu sebelum ribut itu merosakkan sebahagian bumbung dapur rumahnya.

Bagaimanapun, dia yang menetap di Kampung Jenud bersyukur kejadian itu tidak mendatangkan kecederaan kepada dirinya dan keluarga.

“Hanya atap yang rosak, yang lain tiada kerosakan yang besar, jika tidak pasti kami mengalami kerugian,” kata suri rumah itu ketika dihubungi, hari ini.

Bagi Mat Karim Awang, 58, ketika kejadian, dia berada di luar rumah sebelum bergegas pulang selepas hujan lebat di kampungnya di Kampung Sega.

Dia berkata, atap zink di bahagian depan rumahnya diterbangkan dalam kejadian itu selain terdapat beberapa kerosakan kecil.

“Ini adalah kejadian kedua menimpa saya dan keluarga selepas kejadian pertama pada November tahun lalu. Saya harap ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan bagi membolehkan kami membaiki rumah masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Penolong Pesuruhjaya (PA) Zainal Yusoff berkata, sebanyak 24 kediaman rumah terjejas dalam kejadian ribut itu.

Beliau berkata, kejadian itu membabitkan Kampung Tersang, Kampung Jenud, Kampung Ulu Atok dan Kampung Sega.

“Ribut serta hujan lebat menyebabkan beberapa bumbung rumah penduduk di kawasan terbabit rosak teruk termasuk ada yang runtuh.

“Selain itu terdapat beberapa pokok tumbang serta barang-barang rumah penduduk diterbangkan angin,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah melakukan kerja membersih dan mengalihkan pokok tumbang.

Bagaimanapun katanya, tiada pusat pemindahan sementara dibuka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 12:20 PM