Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperluaskan saluran pembayaran kompaun trafik kepada orang ramai dengan memperkenalkan aplikasi telefon pintar myPay DBKL.

Datuk Bandar Tan Sri Ahmad Phesal Talib berkata, ia memberi alternatif kepada orang ramai khususnya mereka yang tinggal di luar ibu kota untuk membuat bayaran dengan mudah tanpa perlu ke kaunter.

Katanya, ia sekali gus dapat membantu DBKL membuat kutipan bayaran kompaun tertunggak yang bernilai kira-kira RM1.9 juta.

“Ini bukan jalan untuk kita mengeluarkan kompaun kepada orang ramai sebaliknya memudahkan mereka membayar kompaun berbanding datang sendiri ke kaunter.

“Ini dapat mempercepatkan mereka membayar kompaun bagi mengelakkan disenarai hitam memandangkan sistem kita diselaras dengan JPJ dan ini peluang mereka untuk membayar,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Aplikasi Telefon Pintar DBKL, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah DBKL Datuk Amin Nordin Abd Aziz.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan dua lagi aplikasi DBKL di telefon pintar iaitu e-Perolehan sebagai sistem penjualan dokumen tender dan sebutharga serta KL Cares iaitu aplikasi yang membolehkan orang ramai membuat aduan secara dalam talian.

Ahmad Phesal berkata, menerusi sistem KL Cares, aduan awam akan diuruskan dengan lebih berkesan apabila orang ramai boleh membuat aduan bersama pelan lokasi.

Katanya, DBKL sentiasa melakukan inisiatif untuk meningkatkan lagi sistem pengaduan awam dan KL Cares juga sebagai salah satu cara untuk pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau tugas yang dilakukan mereka.

“Saya harap aplikasi ini menjadi popular dalam kalangan orang ramai kerana ia lebih mudah digunakan dan maklum balas aduan juga diterima dalam tempoh tiga hari menerusi aplikasi terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2015 @ 8:05 AM