BERNAMA

Kuantan: Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) memperkenalkan aplikasi iKepoh yang membolehkan pengguna membuat aduan menggunakan telefon pintar tanpa perlu hadir ke kaunter.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam MPK Izad Zainal Muhammad Safian berkata orang ramai, sama ada pengguna Android atau iOS boleh memuat turun aplikasi itu secara percuma. ''Bukan hanya membuat aduan, mereka juga boleh menyemak perkembangan aduan, sama ada sudah diambil tindakan atau sebagainya.

“Aplikasi ini juga membolehkan setiap aduan dipantau dengan cekap.

“Aplikasi ini menyediakan saluran aduan yang mesra pengguna dan pengurusan aduan yang lebih berkesan melalui satu sumber sistem yang sama dan mudah dicapai," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Izad Zainal, aplikasi itu dibangunkan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, inisiatif kementerian menyediakan perkhidmatan terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2017 @ 5:21 PM