AHMAD Phesal (kanan)   pada majlis perasmian Terminal Tempahan MyTeksi, semalam.
AHMAD Phesal (kanan) pada majlis perasmian Terminal Tempahan MyTeksi, semalam.

Kuala Lumpur: Sebanyak 14 lokasi pelancongan utama di sekitar ibu kota bakal menyediakan terminal tempahan teksi untuk kemudahan orang ramai khususnya pelancong bagi mendapatkan perkhidmatan pengangkutan itu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, terminal berkenaan adalah adaptasi aplikasi telefon pintar MyTeksi yang disediakan dalam bentuk kios bagi memudahkan pengguna yang tidak menggunakan telefon pintar atau tiada kemudahan internet menikmati kemudahan teksi mengikut keperluan masing-masing.

Menurut beliau, inisiatif itu pendekatan terbaik dalam mengembalikan imej positif perkhidmatan teksi di Kuala Lumpur yang agak buruk di mata dunia.

“Melihat kedudukan Kuala Lumpur sebagai bandar paling teruk dalam perkhidmatan teksi menurut London Cab Survey, jelaslah sesuatu perlu dilakukan untuk mengembalikan kepercayaan orang ramai apalagi Kuala Lumpur sememangnya antara lokasi paling dilawati di Malaysia.

“Justeru, dengan pengalaman kebanyakan pengguna aplikasi telefon pintar MyTeksi sejak dua tahun lalu, saya kira terminal ini meyakinkan pelancong, malah penduduk setempat boleh menggunakan teksi sebagai pengangkutan pilihan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Terminal Tempahan MyTeksi Untuk Kemudahan Pelancong di Jalan Conlay di sini, semalam.

Ahmad Phesal berkata, ketika ini, secara purata setiap pelancong menghabiskan masa 2.6 hari di Kuala Lumpur dalam percutian mereka.

Dengan sistem pengangkutan yang cekap dan dipercayai, beliau yakin pelancong berpotensi tinggal lebih lama di Kuala Lumpur seterusnya menyumbang sasaran 10.1 juta pelancong.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 November 2014 @ 7:32 AM