Kuala Lumpur: Pendidikan moral di sekolah perlu diperkukuhkan sekali gus memberi fokus kepada kepentingan mengamalkan nilai murni supaya adab sopan masyarakat negara terus terpelihara.

Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kejayaan sesuatu kempen budi bahasa mesti bermula daripada sekolah dan nilai murni itu mesti diajarkan kepada murid supaya terus subur dalam masyarakat.

“Dalam hubungan ini, amat penting pendidikan moral di sekolah terus diperkukuhkan untuk menekankan kepentingan mempelajari dan mengamalkan nilai murni.

“Apa yang penting adalah semua rakyat Malaysia mengamalkan nilai murni dalam kehidupan seharian dan ia diamalkan sejajar dengan objektif kerajaan untuk mencapai status negara maju 2020,” katanya.

Selain itu, katanya, sektor awam dan swasta juga harus menggalakkan budi bahasa dalam kalangan kakitangan terutama yang terbabit dalam urusan kaunter.

“Ini sangat penting kerana mereka berurusan dengan orang ramai. Adab sopan yang asas seperti menjawab telefon dengan nada yang baik perlu menjadi amalan,” katanya.

“Agensi kerajaan juga boleh memainkan peranan yang sangat besar dalam mendidik masyarakat mengamalkan nilai murni sekali gus menjadikan masyarakat beradab pada masa depan,” katanya.

Menurutnya, biarpun negara sudah mencapai kemajuan daripada aspek pembangunan, namun dilihat nilai murni semakin merosot dalam kehidupan seharian.

Katanya, sindrom tingkah laku negatif dalam kalangan masyarakat dapat dilihat seperti pembuli di jalan raya, melanggar undang-undang dan membuang sampah merata-rata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 6:13 AM