DR Sheikh  Muszaphar menyampaikan ceramah pada program  motivasi kepada pelajar sekolah.
DR Sheikh Muszaphar menyampaikan ceramah pada program motivasi kepada pelajar sekolah.
Oleh Shamsudin Husin

Chukai: Angkasawan pertama negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, menafikan dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan dia mengenakan bayaran tinggi bagi menyampaikan ceramah motivasi kepada orang ramai terutama pelajar sekolah.

Sebaliknya, Sheikh Muszaphar melahirkan rasa gembira kerana dapat berkongsi ilmu pengetahuan semasa berada di angkasa lepas selama 12 hari dan bersedia menerima undangan daripada mana-mana pihak untuk menyampaikan ceramah.

“Sudah lima kali saya datang ke Terengganu terutama di Kertih. Saya seronok menyampaikan ceramah motivasi kepada pelajar, berkongsi ilmu dan pengalaman sekali gus mendorong mereka menceburi bidang sains angkasa yang jarang diterokai anak bangsa.

“Tidak timbul soal saya minta bayaran terlalu tinggi bagi memenuhi undangan mana-mana pihak untuk menyampaikan ceramah. Tanyalah guru yang mengundang saya hari ini,” katanya yang ditemui selepas menyampaikan ceramah motivasi di Dewan Seri Delima PETRONAS Wilayah Timur, Kertih, di sini, semalam.

Seramai 300 orang terdiri daripada pelajar, guru dan ibu bapa dari beberapa Sekolah Kebangsaan (SK) di daerah Kemaman dan Dungun hadir dalam program ceramah selama satu jam itu.

Turut hadir, Guru Besar SK Kertih, Tuan Zahari Tuan Long.

Sementara itu, murid SK Batu 7 Dungun, Ahmad Irfan Ahmad Suhaimi, 11, berkata, dia gembira kerana dapat berjumpa angkasawan negara itu yang sebelum ini hanya boleh dilihat melalui televisyen saja.

“Saya rasa amat bertuah apabila dapat bertentang mata dan mendengar ceramah motivasi mengenai pengalamannya berada dia angkasa lepas. Ia mendorong semangat saya untuk berjaya dalam pelajaran.

“Bagaimanapun, saya lebih berminat untuk menjadi polis berbanding ahli sains angkasa apabila dewasa kelak kerana tugas polis yang menjaga keamanan negara sangat penting dalam usaha mencegah jenayah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2015 @ 5:08 AM