Sheikh Muszaphar (tengah) ketika menyampaikan ceramah motivasi.
Sheikh Muszaphar (tengah) ketika menyampaikan ceramah motivasi.

Seramai 5,000 pelajar menyertai Majlis Bacaan Yasin Perdana sempena Program Titian Gading di Dewan Badminton Kompleks Sukan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), untuk mendoakan kejayaan pelajar yang akan menghadapi peperiksaan utama tidak lama lagi.

Majlis berkenaan dihadiri calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) mewakili 31 sekolah menengah dan rendah seluruh Langkawi.

Selain menyertai bacaan Yasin beramai-ramai, pelajar terbabit turut disajikan ceramah motivasi oleh Angkasawan Negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha.

Majlis perasmian disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif LADA Tan Sri Khalid Ramli.

Hadir sama, Ahli Parlimen Langkawi Datuk Nawawi Ahmad, Pegawai Pendidikan Daerah Langkawi Marzuki Daud, pengetua dan guru besar sekitar Langkawi.

Dalam ceramahnya, Dr Sheikh Muszaphar Shukor mengingatkan pelajar berusaha bersungguh-sungguh ketika mentelaah pelajaran.

“Anda boleh menjadi saintis, doktor dan jurutera angkasa lepas jika rajin berusaha. Semuanya bukan sesuatu yang mustahil.

“Jadikan dorongan daripada ibu bapa dan guru sebagai perangsang untuk memperoleh keputusan cemerlang sekali gus mampu menjejakkan kaki peringkat pendidikan tertinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2015 @ 9:47 AM