WARGA asing  dihantar ke Pusat Tahanan Imigresen Belantik, Sik dengan menaiki kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia, KD Mahawangsa, semalam.
WARGA asing dihantar ke Pusat Tahanan Imigresen Belantik, Sik dengan menaiki kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia, KD Mahawangsa, semalam.
SEBAHAGIAN daripada 1,000 warga Bangladesh dan Myanmar yang diselamatkan.
SEBAHAGIAN daripada 1,000 warga Bangladesh dan Myanmar yang diselamatkan.
Oleh Syahid Sokri

Langkawi: Polis menahan dua lelaki warga Bangladesh bagi membantu siasatan berkaitan kes pemerdagangan manusia membabitkan 1,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Bangladesh dan Myanmar yang dicekup selepas dua bot dinaiki mereka tersangkut pada beting di Pantai Pasir Berdengung, di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Harrith Kam Abdullah berkata, kedua-dua lelaki berusia 20-an itu ditahan secara berasingan di Kampung Padang Putih dan sebuah motel di Pantai Chenang, di sini, antara jam 9 hingga 9.30 pagi Rabu lalu selepas menerima maklumat awam.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, polis percaya suspek disyaki terbabit di sebalik sindiket pemerdagangan manusia, namun siasatan masih dijalankan.

“Kedua-dua lelaki itu sedang disiasat, tetapi sehingga kini polis masih tiada bukti untuk mengaitkan mereka dengan sindiket berkenaan.

“Disebabkan mereka juga tiada dokumen perjalanan maka kedua-duanya reman 14 hari untuk membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/1963,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Menurutnya, pada masa sama, pihaknya juga membantu mengesan seorang lelaki warga Thailand yang disyaki bertindak sebagai dalang dalam aktiviti pemerdagangan manusia selepas didakwa sedang bersembunyi di sebuah pulau.

Katanya, setakat ini, polis gagal mengesan lokasi persembunyian lelaki terbabit dan menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2015 @ 9:52 AM