SEORANG warga asing terpaksa dibantu rakan untuk makan.
SEORANG warga asing terpaksa dibantu rakan untuk makan.
ANGGOTA penguat kuasa mengagihkan roti kepada PATI.
ANGGOTA penguat kuasa mengagihkan roti kepada PATI.
SEBAHAGIAN PATI yang dalam perjalanan dari Thailand ke Malaysia keletihan selepas tiga hari tidak makan.
SEBAHAGIAN PATI yang dalam perjalanan dari Thailand ke Malaysia keletihan selepas tiga hari tidak makan.
Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Riak keletihan terpancar pada wajah lebih 1,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dan Bangladesh selain turut mengadu lapar sejurus berjaya mendarat apabila dua bot pukat ikan bilis dinaiki mereka tersangkut di pantai Pasir Berdengung, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 12.15 tengah malam, semua warga asing berusia antara dua bulan hingga 50-an terbabit dikatakan terjun ke laut sebelum meredah air laut paras pinggang beramai-ramai untuk ke pantai sejauh 200 meter dari lokasi bot dinaiki mereka.

Bagaimanapun, sekumpulan nelayan yang secara kebetulan menangkap ikan menyedari kehadiran mereka itu lalu memaklumkan kepada polis sebelum mengepung lokasi terbabit dengan bantuan anggota RELA dan menahan semua PATI berkenaan.

Difahamkan, kumpulan PATI itu terpaksa bertindak demikian selepas perjalanan mereka tersekat selain lapar dan letih selepas tiga hari kehabisan makanan sejurus berlepas dari perairan Thailand.

Seorang mangsa, Iqbal Hussain, 27, dari Satkania, Bangladesh, berkata, sejak tiga hari lalu semua mangsa berada dalam keadaan lapar dan letih menyebabkan kebanyakan mereka hanya memikirkan mati sepanjang berada di tengah lautan.

“Dalam bot yang saya naiki, terdapat kira-kira 400 penumpang dan kami berlepas dari Bangladesh kira-kira tiga bulan lalu sebelum memasuki perairan Myanmar dan Thailand.

“Sepanjang perjalanan, kami hanya diberi makan sekali sehari, tetapi sejak tiga hari lalu selepas berlepas dari Thailand, tekong yang membawa kami hilang bersama bekalan makanan yang dibawa.

“Keadaan itu menyebabkan kami tiada apa untuk dimakan menyebabkan semua dalam keadaan letih dan lapar, malah kami terpaksa bergilir-gilir memandu bot untuk tiba ke kawasan ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Yawba Saw Kyaw, 38, dari Taugoo, Myanmar, berkata, dia dan rakan-rakan membayar kira-kira RM8,000 kepada satu sindiket untuk datang ke negara ini dengan tujuan mencari kerja.

“Kami tiada pilihan kerana apabila hampir sampai di sini (Langkawi), tekong yang membawa kami hilang bersama bekalan makanan menyebabkan kami dalam keadaan lapar dan letih.

“Selepas bot yang dinaiki tersangkut, kami terpaksa terjun dan meredah air laut hingga ke pantai untuk menyelamatkan diri dan mencari makanan untuk kanak-kanak yang masih kecil,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Harrith Kam Abdullah berkata, pihaknya yang menerima maklumat berhubung kejadian itu segera menghantar sepasukan anggota untuk melakukan siasatan.

“Siasatan mendapati sejumlah PATI yang menaiki dua bot pukat ikan bilis bertindak terjun laut selepas bot mereka tersangkut di beting berhampiran benteng pemecah ombak di pantai Pasir Berdengung.

“Setakat jam 3 petang (semalam), terdapat seramai 1,051 PATI terdiri daripada 557 warga Myanmar dan 494 warga Bangladesh berjaya ditahan. Mereka kini ditempatkan sementara di kawasan Lapang Sasar Menembak Antarabangsa Mahsuri (LISRAM) untuk tindakan lanjut.

“Mesyuarat penyelarasan dengan beberapa agensi turut diadakan untuk menangani isu ini. Kita juga berterima kasih kepada badan bukan kerajaan yang tampil menyalurkan sumbangan makanan dan pakaian kerana sebahagian besar PATI ini hanya tinggal sehelai sepinggang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2015 @ 10:03 AM