ANTARA PATI yang ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi. Foto Hamzah Osman
ANTARA PATI yang ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi. Foto Hamzah Osman
Oleh Hamzah Osman


Langkawi: Lebih 1,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dan Bangladesh bertindak terjun ke laut selepas dua bot pukat ikan bilis yang dinaiki tersangkut di beting berhampiran Pantai Pasir Berdengung, di sini, tengah malam tadi.

Malah, kesemua warga asing berusia antara dua bulan hingga 55 tahun yang kebuluran dan keletihan turut meredah air laut separas pinggang sejauh kira-kira 200 meter ke pantai.

Bagaimanapun, kejadian 12.15 tengah malam itu disedari sekumpulan nelayan tempatan sebelum memaklumkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Harrith Kam Abdullah berkata, berdasarkan maklumat sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi dan dibantu Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bertindak mengepung kawasan itu sebelum menahan mereka.

"Siasatan awal mendapati PATI yang menaiki dua bot bertindak terjun ke laut selepas bot mereka tersangkut di beting berhampiran benteng pemecah ombak di Pantai Pasir Berdengung.

"Difahamkan jumlahnya melebih 1,000 orang dari Myanmar dan Bangladesh dengan pecahan 100 adalah wanita dan 50 kanak-kanak, manakala bakinya terdiri daripada lelaki," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Harrith Kam berkata, pada peringkat awal kesemua PATI ditempatkan di dewan serbaguna IPD Langkawi, sebelum usaha sedang dilakukan untuk memindahkan sebahagian daripadanya ke Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini.

"Kemudahan yang ada di IPD Langkawi tidak mampu untuk menampung kesemua PATI terbabit dan satu mesyuarat penyelarasan dengan beberapa agensi diadakan untuk sama-sama menangani isu ini.

"Beberapa pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) juga tampil secara sukarela menyalurkan sumbangan makanan dan pakaian kerana sebahagian besar PATI ini berada dalam keadaan sehelai sepinggang," katanya.

Katanya, kes itu akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen negeri untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2015 @ 1:46 PM