JOKOWI (tengah) bersama delegasi dan wakil media  (dari kiri) Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran (Strategik), Muis Shafei, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Chamil Wariya, Ketua Pengarang Utusan Borneo, Lichong Angkui dan Ahmad Zaini pada Hari Pers Nasional 2018 di kota Padang, Sumatera Barat, semalam.
JOKOWI (tengah) bersama delegasi dan wakil media (dari kiri) Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran (Strategik), Muis Shafei, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Chamil Wariya, Ketua Pengarang Utusan Borneo, Lichong Angkui dan Ahmad Zaini pada Hari Pers Nasional 2018 di kota Padang, Sumatera Barat, semalam.
HM Digital

Padang (Sumatera Barat): Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, semalam menghadiri perasmian Hari Pers Nasional Indonesia (HPN) 2018 yang dirasmikan Presiden Indonesia Joko Widodo.

Sambutan HPN yang disifatkan kedua terbesar selepas sambutan Aidilfitri itu turut dihadiri menteri Kabinet, gabenor provinsi dan pemimpin utama provinsi tempatan, duta luar negara, tokoh korporat dan lebih 6,000 pengamal media seluruh Indonesia.

Turut hadir, Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan delegasi wartawan dari Malaysia menerusi Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) yang diterajui Pengurus Besar BERNAMA, Datuk Zulkefli Salleh.

Hadir sama, Ketua Pengarang The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Yushaimi Yahaya dan Pengarang Eksekutif Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

HPN 2018 dianjurkan bersama pengamal media di Indonesia yang terdiri daripada Persatuan Wartawan Indonesia (PWI), Dewan Pers Indonesia, Serikat Penerbit Surat Kabar (SPS), Asosiasi Televisi Swasta Indonesia (ATVSI), Asosiasi Televisi Lokal Indonesia (ATVLI), Persatuan Radio Siaran Swasta Nasional Indonesia (PRSSNI) dan Persatuan Perusahaan Periklanan Indonesia (PPPI).

Sambutan HPN 2018 bermula sejak 7 Februari lalu dengan pelbagai program menarik seperti pameran, konvensyen dan program hiburan yang turut membabitkan penduduk setempat.

Ketua Iswami Indonesia, Asro Kamal Rokan berkata, Hari Pers Nasional disifatkan perayaan kedua terbesar di Indonesia selepas Aidilfitri kerana ia mendapat komitmen penuh pemerintah, pengamal media, penyertaan swasta, tokoh korporat dan akademik, duta luar di Indonesia serta penyertaan rakyat setempat.

“HPN diadakan pada
9 Februari setiap tahun dan semua provinsi amat mengharapkan provinsi mereka menjadi tuan rumah.

“Tuan rumah HPN akan mendapat banyak limpahan manfaat. Pertama, Presiden Indonesia akan merasmikan HPN dan turut melakukan lawatan kerja ke provinsi berkaitan dan banyak pengumuman berkaitan pembangunan dibuat.

“Kedua, kehadiran tokoh korporat, liputan media dan program HPN menjana sumber pendapatan yang besar kepada provinsi itu, ” katanya yang juga Anggota Dewan Kehormat PWI.
- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2018 @ 6:08 AM