NAJIB (tengah) bersalaman dengan Subramaniam sambil diperhatikan Kayveas.
NAJIB (tengah) bersalaman dengan Subramaniam sambil diperhatikan Kayveas.

Kuala Lumpur: “Budaya dan bahasa komuniti Tamil sentiasa dan akan terus dilindungi di negara ini,” kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, kaum India mempunyai sejarah yang penting dan panjang di Malaysia sudah menyumbang kepada kepelbagaian serta kekuatan dalam membina negara.

Kata beliau, bahasa Tamil juga bahasa percakapan utama bagi kaum India termasuk Malayali dan Telugu.

“Pelajar di sini boleh belajar bahasa Tamil sejak dari peringkat prasekolah lagi sehingga peringkat universiti.

“Ketika ini ada 524 sekolah rendah Tamil di Malaysia dan akan ditambah enam buah lagi.

“Ini bukan cakap politik, tetapi saya sudah membuktikannya dan anda boleh lihat sendiri rekod kita,” kata beliau berucap merasmikan Persidangan Kongu Tamilar Sedunia di Stadium Negara, di sini semalam.

Hadir sama, Presiden MyPPP Tan Sri M Kayveas dan Presiden Kongu Nadu Malaysia Datuk K Subramaniam.

Seramai 10,000 peserta dengan 2,000 orang daripadanya dari 12 negara hadir pada persidangan tiga hari yang pertama kali diadakan di negara ini.

Najib berkata, Malaysia dan Kongu Naidu atau India secara amnya mempunyai hubungan dua hala yang amat baik dan banyak persamaan.

Malah, beliau dan Perdana Menteri India Narendra Modi ketika melawat negara ini November lalu bersama-sama merasmikan Gerbang Torana di Brickfields yang turut dikenali sebagai ‘Little India’.

“Ia monumen yang menakjubkan sebagai simbol persahabatan antara kedua-dua negara,” kata beliau.

Beliau berkata, sejak 1998 India menjadi rakan dagang terbesar Malaysia di rantau Asia Selatan.

“Ribuan peluang pekerjaan diwujudkan dalam sektor pembuatan membabitkan projek negara itu sementara pelaburan langsung Malaysia di India pada 2014 ialah sebanyak AS$1.77 bilion (RM7.2 bilion),” kata beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2016 @ 9:23 AM