Sepang: Suri rumah dan individu berjalan berseorangan di laluan sunyi kini menjadi sasaran geng samun bermotosikal menggunakan senjata di sekitar daerah ini yang dikesan berlaku sejak awal tahun ini.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Mohd Yusoff Awang berkata, berdasarkan maklumat diperoleh geng ini bergerak secara berkumpulan menggunakan dua motosikal yang dinaiki empat suspek.

Katanya, mereka menjadikan taman perumahan serta laluan sunyi sebagai lokasi sasaran, malah memakai topi keledar bermuka penuh berwarna gelap bagi mengelakkan wajah dikesan.

“Selain Sepang, mereka juga dikatakan aktif menjalankan kegiatan samun di daerah lain seperti di Nilai, Negeri Sembilan dan Kajang, Selangor.

“Siasatan juga mendapati sekiranya mereka sudah menjalankan kegiatan di sesuatu kawasan contohnya di Kajang hari ini, mereka hentikan kegiatan berkenaan pada hari itu dan tidak menyamun di kawasan lain,” katanya.

Mohd Yusof berkata, kumpulan itu amat berbahaya kerana membawa senjata seperti parang pendek ketika menyamun untuk mengugut mencederakan mangsa.

Menurutnya, kegiatan samun menggunakan motosikal itu memudahkan mereka melarikan diri dan bergerak ke tempat lain.

“Setakat ini, lima kes dilaporkan di beberapa kawasan seperti Dengkil dan Putra Perdana, Puchong, jadi kita sedang mengenalpasti sama ada kegiatan ini dilakukan kumpulan sama atau berlainan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2015 @ 7:15 AM