GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin


Polis menumpaskan Geng J-Lo yang aktif melakukan kegiatan curi motosikal, samun warga asing serta kedai serbaneka 24 jam serta pecah cermin kenderaan di daerah ini sejak Julai tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima beberapa laporan mengenai kejadian samun membabitkan warga asing serta premis 24 jam, curi motosikal dan pecah cermin kenderaan sepanjang tempoh itu.

“Hasil risikan dan maklumat diperoleh, kumpulan penjenayah yang dikenali sebagai J-Lo itu terdiri daripada enam lelaki berusia antara awal 20-an hingga pertengahan 30-an yang tinggal di kawasan sekitar daerah ini.

“Tindakan operasi dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang berjaya menahan empat ahli kumpulan itu pada hujung bulan lalu.

“Dalam serbuan itu, kami merampas 10 kad Touch N Go, dua I-kad, dua Smartag, dua kad pengenalan, lima telefon bimbit, tiga ‘allen key’ yang diubah suai, satu pisau, dua set kunci, empat helmet, tiga topi, empat kasut, dua beg galas, satu jaket, empat spanar, lapan motosikal, dua rangka motosikal, satu sarung tangan, satu penutup muka dan satu pisau rambo,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, semakan terhadap empat suspek berkenaan mendapati mereka mempunyai rekod berkaitan samun, curi kenderaan dan dadah.

“Siasatan mendapati kumpulan ini bergiat aktif pada Julai 2019 selepas dibebaskan dari Penjara Kajang. Modus operandi dilakukan adalah menyasarkan warga asing yang berjalan berseorangan atau menaiki motosikal.

“Selain itu, kumpulan ini juga dipercayai terbabit dengan kes kecurian motosikal sekitar daerah ini. Kenderaan curi dipercayai akan digunakan untuk kegiatan samun dan dileraikan bagi mendapatkan komponen sebelum dijual.

“Malah, kumpulan ini juga menggunakan senjata seperti kerambit, pisau dan spanar ketika melakukan kegiatan samun,” katanya yang memaklumkan semua suspek kini direman di IPD Kajang untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, dengan penahanan empat suspek terbabit, pihaknya yakin berjaya menyelesaikan 27 kes dilaporkan di daerah itu dan satu kes di daerah Cheras, Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 4:26 PM