PASANGAN yang dinikahkan di hospital.
PASANGAN yang dinikahkan di hospital.
Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: “Ini pengalaman pertama saya menikahkan pengantin baru di wad hospital sejak menjadi kadi 21 tahun lalu," kata Kadi Daerah Jempol, Muzahar Mohd Deli selepas menikahkan Rosli Abu Bakar, 51, dan pasangannya Maznah Ismail, 36, di Hospital Jempol, 10.45 pagi tadi.

Muzahar berkata, pernikahan berkenaan tidak boleh dibatalkan kerana bapa kepada pengantin perempuan yang tinggal di Pattani, Thailand sudah mewakilkan kepadanya bagi pernikahan berkenaan sejak tiga bulan lalu.

"Walaupun tidak sihat saya perlu menjalankan tugas yang diamanahkan kerana tidak mahu merosakkan hari bahagia mereka," katanya yang dimasukkan ke wad akibat jangkitan kuman pada paru-paru sejak Isnin lalu.

Katanya, selepas menjadi wakil wali, akad nikah tidak boleh diwakilkan kepada pegawai lain pula dan jika majlis hari ini dibatalkan ia akan menyusahkan pihak pengantin perempuan dan atas faktor berkenaan, pasangan pengantin perlu datang ke hospital untuk dinikahkan.

Rosli seorang peniaga pasar malam menetap di Kuala Lumpur manakala Maznah yang berasal dari Pattani, Thailand berkenalan sejak setahun lalu.

"Mulanya saya agak terkejut bila dimaklumkan oleh kakitangan Pejabat Agama Islam Jempol bahawa majlis akad nikah akan dijalankan di hospital, namun tak sangka pula rupanya kadi sedang menerima rawatan di sini," kata Rosli yang mempunyai tiga orang anak berusia antara lapan hingga 22 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Februari 2015 @ 12:43 PM