Ridhatul Rizki


BUKAN pengantin lelaki saja yang gemuruh sehingga tersasul ketika majlis akad nikah, bapa mentua juga gemuruh sehingga tersalah sebut nama sendiri apabila menikahkan anak perempuannya.

Itu yang berlaku di antara Abdur Rohim Mazalan, 27, dan bapa mentuanya, Ismail Harun Dolah, 48, yang sama-sama tersasul sehingga akad nikah yang berlangsung pada 29 April lalu di Teluk Intan, hanya sah pada lafaz ketiga.

Abdur Rohim berkata, dia gemuruh kerana tidak pernah mengenali keluarga isterinya serta terlupa nama bapa mentuanya.

“Saya tidak pernah mengenali isteri dan keluarganya sebelum kami dinikahkan. Sebab itu saya begitu gemuruh sehingga tersalah menyebut nama bapa mentua,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Situasi lucu terbabit boleh dilihat dalam video yang dimuat naik sepupu Abdur Rohim, Ahmad Firdaus Sufian, 26, di Facebook (FB) pada hari penikahan Abdur Rohim dan isteri, Zainab Ismail Harun, 24, yang tular sehingga kini.

Abdur Rohim berkata, dia dan Zainab dijodohkan atas pilihan ibu bapa dan dia pernah sekali sahaja bertemu dengan Zainab dan keluarganya iaitu pada majlis pertunangan mereka Julai tahun lalu.

“Hari akad nikah itu adalah kali kedua saya bertemu dengan isteri dan keluarganya selepas majlis pertunangan kami,” kata Abdur Rohim.

Menurutnya, dia hanya berhubung dengan Zainab melalui FB sejak bertunang.

“Saya memang tak pernah kenal isteri dan keluarganya sebelum ini. Setelah beberapa kali pinangan saya dengan wanita lain ditolak, akhirnya saya minta ibu yang mencarikan jodoh buat saya.

“Sejak bertunang, kami hanya berhubung melalui FB untuk membincangkan hal-hal penting berkaitan dengan perkahwinan. Ibu juga tidak galakkan kami berjumpa kerana menurutnya, tidak manis pasangan yang belum bernikah sering bertemu,” katanya.

Abdur Rohim yang mengusahakan restoran di Slim River, Perak, berkata, dia percaya pilihan ibu adalah yang terbaik untuknya.

“Benarlah kata orang berkat pilihan dan doa ibu. Saya beruntung ditemukan jodoh dengan seorang wanita yang amat memahami dan bapa mentua yang ‘sekepala’ dengan saya.

“Walaupun tidak pernah mengenali mereka sebelum ini, tetapi Alhamdulillah kami sering sependapat dan urusan pernikahan juga dipermudahkan,” katanya.

Mengulas tentang video terbabit yang tular sehingga menerima pelbagai reaksi netizen yang rata-rata terhibur melihat keluarga itu, Abdur Rohim berkata, dia masih menerima ucapan tahniah sehingga kini.

“Tak sangka video itu tular sampai sekarang walaupun sudah hampir empat bulan kami bernikah. Sehingga kini saya masih menerima ucapan tahniah dan selamat pengantin baru,” katanya.

Sementara itu, Ismail memberitahu dia juga gemuruh dan tersasul ketika upacara akad nikah berkenaan memandangkan Zainab adalah anak pertama yang dinikahkannya.

“Pada awalnya saya ingin biarkan tok kadi yang menikahkan Zainab. Tetapi ada ustaz yang menasihati saya untuk menikahkan anak saya sendiri supaya lebih berkat.

“Zainab adalah anak sulung daripada sembilan adik beradik. Dia juga adalah anak pertama saya nikahkan, sebab itu perasaan saya begitu gemuruh,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2017 @ 11:00 PM