KHAIRUL Azim  dan Nor Syafika selamat diijab kabul. Gambar kecil, Azizul Fahmi menikahkan Khairul Azim disaksikan Md Zin (atas katil) dan ahli keluarga, semalam.
KHAIRUL Azim dan Nor Syafika selamat diijab kabul. Gambar kecil, Azizul Fahmi menikahkan Khairul Azim disaksikan Md Zin (atas katil) dan ahli keluarga, semalam.
Oleh Ahmad Othman

Kota Tinggi: “Alhamdulillah...permintaannya dapat kami laksanakan hari ini (semalam) dan semuanya sudah selamat,” kata Nor Syafika Md Zin, 24, yang diijabkabulkan dengan pasangannya Khairul Azim Badrun Majidi, 24, di depan bapanya yang terlantar akibat kanser di Wad Kenanga Hospital Kota Tinggi, di sini, semalam.

Pasangan arkitek itu dinikahkan di depan Md Zin Arff, 58, oleh Imam 1 Daerah Kota Tinggi Azizul Fahmi Md Salleh jam 9 pagi dengan disaksikan ahli keluarga terdekat kedua-dua pihak.

Menurut Nor Syafika, dia bersyukur kerana permintaan bapanya untuk melihat dia diijabkabulkan dengan suaminya turut mendapat kerjasama positif daripada pengurusan HKT.

“Memandangkan saya anak perempuan tunggal daripada lima beradik, ayah berharap majlis akad nikah diadakan di hadapan beliau yang sedang mendapat rawatan di hospital akibat kanser paru-paru dan tulang.

“Sebelum ini ayah menjalankan rawatan di hospital swasta sebelum ke Hospital Sultan Ismail (HSI) seterusnya dipindahkan ke HKT dan dia menyatakan hasrat majlis akad nikah ini dilangsungkan di hadapannya, di sini,” katanya ketika ditemui selepas selesai majlis berkenaan, semalam.

Menurut Nor Syafika, dia dan suaminya bertunang Januari lalu dan mengikut rancangan awal, majlis pernikahan dilangsungkan April ini.

“Bapa menyatakan hasratnya untuk menyaksikan majlis pernikahan kami yang dipercepatkan sebulan awal memandang tahap kesihatannya.

“Kami tahu ayah menghidap penyakit kanser, namun kami tidak sangka kesihatan ayah merudum begitu cepat,” katanya.

Keadaan menjadi sayu seketika menyaksikan kebanyakan ahli keluarga menitiskan air mata apabila melihat Md Zin yang juga mantan Naib Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi dibantu isterinya Hamidah A Karim, 55, dalam keadaan berbaring melafazkan persetujuan dan menyerahkan tugas pernikahan itu kepada Azizul.

“Mengikut perancangan awal, kami bernikah di rumah dengan membawa ayah keluar hospital sekejap, tetapi berikutan keadaannya yang tidak mengizinkan menyebabkan kami bertukar rancangan dan keluarga bersetuju mahu mengadakan majlis pernikahan di hospital,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2015 @ 6:02 AM