Yusmizal Dolah Aling dan Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Buku ilmiah yang mempromosikan tema jihad kebiasaannya memanipulasi tokoh Islam yang mempunyai pandangan kontroversi dalam ‘menghalalkan’ gerakan jihad mereka sekali gus mempengaruhi orang lain untuk turut sama mengangkat senjata.

Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Waljamaah Malaysia (ASWAJA) Zamihan Mat Zin berkata, pendekatan itu terbukti menerusi beberapa judul buku yang sudah dikenal pasti oleh pihak berkuasa menggunakan nama tokoh Islam dalam menyokong agenda jihad kumpulan militan.

Menurutnya, beberapa tokoh berkenaan sememangnya terkenal dengan pandangan keras mereka berhubung jihad dan mereka menggunakan pandangan terbabit dalam menghalalkan agenda jihad tanpa merujuk kepada pandangan ulama lain.

“Beberapa tokoh ini ada melahirkan pandangan kontroversi berhubung sesuatu hal berkaitan jihad dan mereka bertindak memanipulasi perkara berkenaan sekali gus kelihatan bahawa jihad yang dibawa kumpulan terbabit adalah mengikut Islam sebenar.

“Kami juga ada menerima aduan berhubung beberapa buku yang dijual secara rahsia oleh segelintir peniaga dan antara judul buku berkenaan ialah siri lengkap Tarbiyah Jihadiyah, Jihad Jalan Tunggal Menuju Khilafah dan Syarh Al-Aqidah Al-Wasithiyah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.

Zamihan berkata, tiga judul berkenaan sudah dianalisis daripada aspek kandungannya dan ia terbukti menerusi beberapa kenyataan yang bersifat ekstremis termasuk menggunakan tokoh jihad iaitu Sheikh Dr Abdullah Azzam.

Semalam Harian Metro membongkar beberapa judul bahan bacaan yang bertopengkan buku agama tetapi mendokong perjuangan radikal dengan menggunakan tema jihad acuan kumpulan tertentu.

Menerusi laporan eksklusif itu, sebahagian kandungan buku keagamaan dikesan cuba menyemarakkan semangat radikal sekali gus dibimbangi mampu membentuk pemikiran ektremis dalam kalangan pembaca.

Perkara itu didedahkan oleh Pengerusi Biro Agama Pergerakan Pemuda UMNO Azmir Yuzaimi Mohd Yunos yang menerima aduan daripada orang ramai berhubung penjualan buku titu.

Pada masa sama, Zamihan berkata, beliau juga menerima maklumat bahawa ada peniaga yang menyorok buku berkenaan daripada tontonan umum dan hanya dijual kepada orang tertentu.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, mereka menyimpan buku terbabit dalam ruangan khas yang hanya boleh dimasuki oleh individu tertentu dan tindakan itu dipercayai menjaga kerahsiaan kegiatan mereka.

“Justeru kita minta tindakan tegas pihak berkuasa dalam mengenal pasti bahan bacaan yang menyerap doktrin keganasan kepada orang ramai. Tidak boleh tunggu lagi kerana kita tidak tahu setakat mana pergerakan kumpulan radikal ini di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, sumber Kementerian Dalam Negeri (KDN) Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran turut memaklumkan bahawa mereka sedia maklum berhubung kegiatan segelintir peniaga terbabit, namun tindakan untuk merampas bahan ilmiah itu memakan sedikit masa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 January 2015 @ 8:27 AM