Ahmad El-Muhammady Muhammad Uthman El Muhammady
Ahmad El-Muhammady Muhammad Uthman El Muhammady
Amir Abd Hamid dan Mohd Firdaus Ibrahim dan Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Kajian membuktikan pegangan tauhid yang dipopularkan oleh Ibnu Taimiyah dan Muhammad Abdul Wahhab menjadi asas kepada doktrin takfiri yang dipegang teguh oleh anggota militan Daish dan Jemaah Islamiyah (JI).

Pandangan serta fatwa tokoh kontroversi itu juga menjadi ‘kiblat’ utama beberapa kumpulan militan lain yang beroperasi di beberapa negara bergolak seperti Boko Haram dan Al-Shabaab.

Ia adalah satu fakta jelas bahawa Daish sememangnya menggunakan pandangan tokoh kontroversi itu dan ia boleh dilihat dalam majalah dalam talian mereka, Dabiq termasuk kenyataan daripada pemimpin utama kumpulan militan itu.

Felo Kanan (Kajian Pemikiran Ekstrim) Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) Ahmad El-Muhammady Muhammad Uthman El Muhammady berkata, fakta itu boleh ditemui dalam Al-Fatawa al-Kubra dan Mustadrak dan anggota militan Daish turut menggunakan hujah ini untuk membakar juruterbang Jordan supaya mereka takut untuk mengebom lokasi strategik kawalan Daish.

Menurutnya, pendekatan keras Ibnu Taimiyah dalam ijtihadnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh militan Daish dalam membenarkan tindakan kezaliman mereka terhadap individu yang tidak sependapat dengan perjuangan kumpulan itu.

“Pandangan pemimpin utama kumpulan militan seperti Abdul Salam Farraj, Osama bin Laden, Muhammad al-Maqdisi, Abu Yahya al-Libbi, Abu Bakar Naji, Yusuf al-Uyayri turut menggunakan hujan yang dipetik daripada fatwa Ibnu Taimiyah.

“Persoalan adakah mereka salah faham berhubung fatwa Ibnu Taimiyah atau memang fatwa tokoh itu berbentuk keras, kedua-dua persoalan itu memang wujud. Ada pandangan yang disalahtafsirkan dan ada juga yang menunjukkan ijtihad Ibnu Taimiyah bersifat keras.

“Pandangan keras Ibnu Taimiyah ini juga menyalahi pandangan majoriti ulama. Contohnya, Fatwa Mardin yang dipegang oleh al-Qaeda, JI Mesir dan Daish. Mereka percaya bahawa boleh membunuh pemimpin dan sesiapa yang tidak melaksanakan hukum Islam di negara mereka,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Beliau yang juga Pensyarah Sains Politik dan Pengajian Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, kajian mendapati memang ada pendapat Ibnu Taimiyah yang disalah tafsir dengan membawa makna tertentu, namun memang wujud pandangan tokoh itu yang bertentangan dengan majoriti ulama.

Menurutnya, tidak dapat dinafikan terdapat beberapa pandangan, fatwa serta ijtihad Ibnu Taimiyah yang berbeza daripada pandangan majoriti ulama kerana ia bersifat keras dan cepat untuk menjatuhkan hukuman murtad.

“Pendapat tokoh itu juga cepat untuk menjatuhkan hukuman kafir kepada sesiapa yang pada kepercayaannya tidak bertauhid sebagaimana yang difahami oleh tokoh serta pendokong aliran pemikirannya.

Ditanya berhubung keperluan untuk melaksanakan kajian terhadap karya serta kitab Ibnu Taimiyah, Ahmad berkata, ia langkah yang amat wajar sekali dan satu kajian khusus boleh dilakukan di peringkat kebangsaan untuk menentukan kedudukan Ibnu Taimiyah supaya kekeliruan dalam masyarakat boleh diselesaikan.

“Saya turut mencadangkan panel kepada kajian itu wajar dianggotai oleh pihak keselamatan yang mengurus isu keganasan seperti Bahagian Counter-Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman (E8) dan pakar pemikiran radikal.

“Ini kerana berdasarkan dapatan polis membuktikan bahawa banyak fatwa Ibnu Taimiyah digunakan sebagai justifikasi untuk melakukan aksi ganas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2016 @ 11:02 AM