Yang Dipertua AMIN Abdul Kareem Sain Khadaied (tengah) dalam sidang media, semalam.
Yang Dipertua AMIN Abdul Kareem Sain Khadaied (tengah) dalam sidang media, semalam.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Fahaman Wahabi dan sesetengah pandangan Ibnu Taimiyah yang dimanipulasi pihak tertentu tidak sesuai diamalkan di negara ini berikutan lebih menjurus kepada perbuatan ekstrem atau radikal sekali gus menggalakkan peperangan dan persengketaan.

Jurucakap Gabungan Angkatan Melayu Islam Nusantara (AMIN) berkata, fahaman berkenaan yang dikenal pasti semakin menular dan menonjol itu meresap ke jiwa golongan muda menyebabkan ada antara mereka menyertai Daish atau kumpulan militan Islam lain.

Beliau berkata, fahaman berkenaan perlu disekat segera kerana dibimbangi terus terus berkembang sekali gus mengelirukan umat Islam terutama belia negara ini.

“Jika kita tiada pegangan kukuh iaitu satu aliran saja sebagai rujukan kemungkinan timbul kekeliruan atau kecelaruan yang akhirnya mencetuskan perbuatan serta tindakan melanggar syariat seperti maksiat, pembunuhan dan pergaduhan.

“Perkara penting sekarang ini mahu menjaga ketulenan agama dan mendesak agensi agama yang keliru untuk menghormati desakan ini yang datang dari akar umbi iaitu berasaskan ilmu, fakta sejarah, nas al-Quran dan hadis,” katanya pada sidang media gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Islam, di sini, semalam.

Sidang media yang menghimpunkan lebih 20 NGO Islam itu diadakan susulan laporan eksklusif Harian Metro 10 September lalu memaparkan pandangan Ibnu Taimiyah bukan saja sering digunakan anggota militan Daish, malah mereka menjadikannya sebagai justifikasi tindakan mereka termasuk menghalalkan darah kepada sesiapa saja g menentang perjuangan.

Pandangan keras seperti ‘jihad qital (jihad peperangan) jalan tunggal menghapuskan dosa besar’ dieksploitasi sehingga menarik perhatian umum seolah-olah kumpulan militan Daish ini berada dalam landasan perjuangan mengikut manhaj jihad sebenar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2016 @ 6:41 AM