HISHAMMUDDIN (tiga dari kanan) dan Fadillah (dua dari kanan) bersama sukarelawan di Depoh Pengumpulan Barangan Banjir, Pangkalan Udara Tentera Diraja Malaysia Subang.
HISHAMMUDDIN (tiga dari kanan) dan Fadillah (dua dari kanan) bersama sukarelawan di Depoh Pengumpulan Barangan Banjir, Pangkalan Udara Tentera Diraja Malaysia Subang.

Subang: Proses menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir dipermudahkan apabila empat pusat kecil pengumpulan bekalan beroperasi 24 jam dibuka di tiga negeri oleh Kementerian Pertahanan.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pusat itu dibuka di kem tentera di Kedah, Melaka serta dua di Perak.

Menurutnya, antara kem dibuka sebagai pusat pengumpulan barangan adalah di Batalion ke-6 Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Jitra, Kedah; Dewan Serbaguna Markas 3 Divisyen, Kem Terendak, Melaka; Dewan 2 Briged Markas Staf Stesen Ipoh dan Dewan Piyuntinan Batalion ke-2 Rejimen Renjer Diraja Kem Syed Putra Jalan Tambun, Ipoh.

Beliau berkata, kem dibuka untuk memudahkan orang ramai menyalurkan bantuan kerana sebelum ini proses itu tertumpu di Pusat Pengumpulan Barangan Banjir di Pangkalan Udara Subang.

“Sehingga semalam, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan 278 penerbangan dalam menjayakan Ops Murni menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir.

“Daripada jumlah penerbangan itu, 620 tan bekalan banjir disalurkan melalui Pusat Pengumpulan di Pangkalan Udara TUDM Subang,” katanya ketika meninjau Pusat Pengumpulan Barangan Banjir di Pangkalan Udara Subang di sini, semalam.

Hishammuddin berkata, kementeriannya bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah mengenal pasti jalan dan dua jambatan dibaik pulih segera bagi memudahkan proses penghantaran bekalan melalui jalan darat dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 January 2015 @ 5:21 AM