Anggota TUDM mengangkat bahan makanan untuk dihantar kepada mangsa banjir.
Anggota TUDM mengangkat bahan makanan untuk dihantar kepada mangsa banjir.
Oleh Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terus mempertingkatkan usaha menghantar bekalan makanan ke tempat yang sukar dikunjungi akibat banjir dengan menggunakan aset udaranya sejak Ops Murni mula diaktifkan pada 20 Disember lalu.

Sehingga kini, TUDM sudah menggerakkan dua helikopter Nuri, enam helikopter EC725 dan lima pesawat pengangkut C130H serta 300 anggota bagi memastikan penduduk yang terputus hubungan akibat banjir memperoleh bantuan bekalan makanan.

Tiga pangkalan udara digunakan untuk tujuan penghantaran bahan-bahan makanan iaitu, Pangkalan Udara Subang, Pangkalan Udara Kuantan dan Pangkalan Udara Gong Kedak.

Pangkalan Udara itu akan terus mengkoordinasikan usaha bagi menghantar bahan makanan dan keperluan asas ke tempat yang sukar dikunjungi melalui jalan darat.

Pada masa sama, Pangkalan Udara Subang turut dijadikan sebagai Pusat Pengumpulan Pembekalan Makanan mangsa banjir oleh kerajaan bagi mengkoordinasikan bahan makanan dan keperluan asas yang disumbangkan oleh orang ramai.

Bantuan akan dihantar ke kawasan yang terjejas akibat banjir dengan menggunakan pesawat C130H sebelum ianya diagihkan kepada penduduk yang terjejas.

Sehingga 28 Disember 2014, pesawat C130H sudah menerbangkan 220 tan bahan makanan dari Pangkalan Udara Subang ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa Kota Bahru dan Pangkalan Udara Gong Kedak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Disember 2014 @ 12:10 PM