ANGGOTA tentera menyusun barang sumbangan untuk diagihkan.
ANGGOTA tentera menyusun barang sumbangan untuk diagihkan.

Subang: Kelengkapan bayi, pakaian seragam sekolah dan barangan keperluan wanita dilihat antara keperluan mendesak yang amat diperlukan kebanyakan mangsa banjir.

Justeru Menteri Pembangunan Wanita Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim menyarankan jenis barangan itu diberikan keutamaan untuk disalurkan kepada mangsa di kawasan terjejas.

Beliau berkata, terdapat mangsa terutamanya yang mempunyai anak kecil dan bersekolah meminta keperluan itu disediakan memandangkan kemusnahan harta benda dialami.

Menurutnya, mana-mana pihak yang mahu menyalurkan bantuan diharap dapat memberikan fokus terhadap barangan keperluan itu.

“Keadaan banjir yang semakin pulih membolehkan mangsa balik untuk membersihkan lumpur dan kotoran di kediaman masing-masing. Malangnya mereka tidak mempunyai peralatan mencukupi.

“Kelengkapan pembersihan turut diperlukan berikutan rumah mangsa disaluti lumpur dan memerlukan peralatan mencukupi untuk kerja mencuci,” katanya selepas menerima sumbangan bantuan kepada mangsa banjir daripada Badan Amal Kebajikan Angkatan Tentera (Bakat) kepada kementeriannya, di Pusat Pengumpulan Barangan Banjir di Pangkalan Udara Subang, semalam.

Sumbangan seperti telekung, tudung dan sejadah masing-masing berjumlah 1,000 helai disampaikan isteri Menteri Pertahanan Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah yang disaksikan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Dalam pada itu, Rohani berkata, kementeriannya sudah menghantar 15 kaunselor secara tetap di Kelantan dan 85 lagi akan dihantar ke negeri itu dan negeri lain yang dilanda banjir bagi memberikan khidmat kaunseling dan sokongan kepada mangsa.

Menurutnya, kebanyakan mangsa banjir kini dalam keadaan trauma dan kemurungan akibat bencana itu yang memusnahkan harta benda.

“Kebanyakan mangsa banjir kini trauma dan murung ekoran bencana yang berlaku kerana ada di antara mereka yang kehilangan rumah dan kenderaan. Ia satu musibah yang sudah pasti memberikan tamparan hebat kepada mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 January 2015 @ 7:38 AM