Oleh Muhammad Apendy Issahak

Ipoh: Lelaki berusia 50 tahun dipercayai anggota kanan Geng Mamak dan wanita berusia 33 tahun yang direman sejak 6 Disember lalu dilanjutkan tempoh tahanan reman enam hari lagi.

Kedua-dua suspek diberkas di kawasan Kampung Tawas, di sini, selepas dipercayai terbabit dalam beberapa kes jenayah seperti samun bersenjata dan curi kenderaan mewah.

Rabu lalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Dzuraidi Ibrahim, dalam satu sidang media mendedahkan berhubung penahanan lelaki itu yang juga dalang utama kumpulan Geng Mamak bersama teman wanitanya, selain seorang lagi ahli kumpulan sama yang ditembak mati di Kuala Kangsar pada Selasa lalu.

Kedua-dua suspek dibawa menaiki dua kenderaan berasingan serta diringi tiga lagi kenderaan polis dan dikawal ketat pasukan polis yang lengkap bersenjata ke Mahkamah Majistret Ipoh, kira-kira 9.45 pagi.

Majistret Nur Melati Diana Abd Wahab membenarkan kedua-dua suspek terbabit disambung reman sehingga 25 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:50 PM