Johor Bahru: Ahli Parlimen Johor Bahru Tan Sri Shahrir Abdul Samad dilantik UMNO Johor menerajui institut penyelidikan dan pemikir parti berkenaan dalam menjalankan kajian bagi memastikan orang Melayu tidak tercicir dalam perkembangan ekonomi di negeri itu.

Pelantikan Shahrir diumumkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika berucap di majlis penutup Konvensyen UMNO Johor 2014, di sini, semalam.

Mohamed Khaled berkata, institut yang menjadi badan penyelidikan kepada UMNO Johor perlu mempunyai seorang peneraju dalam kalangan parti itu sekali gus menjadikan Shahrir layak mengepalainya.

Menurutnya, negeri berkenaan sedang menghadapi pertumbuhan ekonomi yang cepat dan sekiranya tiada sebarang langkah dibuat pastinya orang Melayu akan tercicir dari arus kemajuan.

Katanya, sekiranya tiada badan yang boleh merancang atau merangka strategi pastinya akan menyebabkan orang Melayu ketinggalan.

Shahrir bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Menteri Kebajikan serta pernah memegang jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara Malaysia (PAC) serta bekas pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC).

Ketika sidang media selepas majlis itu, Mohamed Khaled menjelaskan bahawa badan yang menjadi milik UMNO berkenaan digerakkan serta-merta.

Menurutnya, Shahrir i akan memilih tenaga penggeraknya untuk menjalankan penyelidikan terhadap isu terkini berkaitan kepentingan orang Melayu.

Katanya, institut berkenaan akan mengumpul maklumat berkaitan isu semasa dan merencanakan usaha pembangunan negeri.

“Ini sangat penting untuk kita mengupayakan orang Melayu kerana pertumbuhan ekonomi di negeri ini sangat cepat sekali,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, konvensyen yang diadakan itu sangat bermanfaat kerana peserta dan pemimpin dapat melontar idea serta input bernas masing-masing menerusi bengkel diadakan.

Menurutnya, resolusi yang dicapai menerusi bidang politik, ekonomi, pendidikan dan agama serta orang muda akan dijadikan asas panduan di peringkat kepimpinan negeri dan bahagian sekali gus dapat terus memperkukuhkan parti.

“Sebahagiannya juga akan dijadikan asas untuk diketengahkan oleh wakil negeri pada Perhimpunan Agung UMNO nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 5:20 AM