Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Umno Johor mahu Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Datuk Maulizan Bujang, diberi ruang membela diri sekali gus mengemukakan rayuan.

Pengerusi Umno Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Khas Perhubungan Umno negeri, hari ini.

Bagaimanapun, Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden Umno berkata, pihaknya akur dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) menggantung keahlian Hishammuddin yang juga Ketua Umno Bahagian Sembrong dan Datuk Maulizan Bujang yang juga Ketua Umno Bahagian Tebrau, selama enam tahun.

"Umno Johor menzahirkan rasa sedih dengan apa yang berlaku lebih-lebih lagi membabitkan dua pemimpin iaitu Hishammuddin dan Maulizan, yang banyak berjasa kepada Umno negeri.

"Maka Umno Johor bersetuju supaya kedua-dua pemimpin ini wajar diberikan peluang membela diri dan merayu atas tindakan yang dikenakan itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Badan Perhubungan Umno Johor, di sini, hari ini.

Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Datuk Maulizan Bujang
Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Datuk Maulizan Bujang

Pada 27 Januari lalu, MKT dilaporkan menggantung keahlian selama enam tahun terhadap Hishamuddin yang juga bekas Naib Presiden Umno, serta Maulizan yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tiram, selain

memecat lima ahli Umno Bahagian Pasir Gudang.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled yang juga Menteri Pengajian Tinggi, berkata tindakan disiplin dan penggantungan oleh MKT itu tidak akan menjejaskan Umno Johor berikutan beberapa pimpinan negeri sebelum ini pernah berdepan tindakan sama.

Katanya, individu yang digantung tidak boleh berputus asa kerana sekiranya usaha dilakukan seperti membuat rayuan, tempoh penggantungan mungkin akan dapat dipendekkan.

"Ini bukan kali pertama pimpinan Umno Johor digantung atau dikenakan tindakan disiplin. Di Johor, kita pernah laluinya sebelum ini tetapi Umno terus melaksanakan tanggungjawab dan tidak berdepan kekangan sehingga menyebabkan parti tidak dapat bergerak.

"Namun yang lebih penting, mereka yang dikenakan tindakan itu sebahagian besarnya kembali semula kepada Umno antaranya Tan Sri Shahrir Samad dan Muszaidi Makmor yang kini Ketua Umno Bahagian Kota Tinggi.

"Kita percaya jika ada usaha dibuat, pastinya penggantungan Hishammuddin dan Maulizan dapat dipendekkan sebagaimana yang berlaku pada Datuk Lokman Noor Adam. Tidak boleh putus asa, kerana hukuman bukanlah penamat karier politik,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 3:40 PM