Kuala Lumpur: Pergerakan Puteri UMNO akan menubuhkan sekretariat mahasiswi bagi mendekati penuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memperkasakan lagi wanita muda menerusi pendidikan.

Ketuanya Datuk Ermieyati Samsudin berkata, dengan mengambil sikap proaktif, pihaknya akan menubuhkan sekretariat bersama mahasiswi.

“Dengan adanya jaringan ini, kita dapat dekat dengan mahasiswi bukan saja dalam negara malah luar negara.

“Rangkaian persahabatan ini penting dan berharap Puteri UMNO akan mengambil langkah positif mendekati golongan ini supaya mereka tidak ketinggalan dan mengetahui apa yang kita perjuangkan.

“Malah, kita juga ingin sentuh mengenai latihan dan pengkaderan Puteri kerana saya lihat banyak lagi perlu dilatih dan ini mungkin menjadi platform terbaik mereka belajar sebagai pemimpin muda dalam UMNO dan semoga peremajaan parti dapat dilakukan dengan baik,” katanya. ketika menggulung perbahasan Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO, semalam.

Selain itu, beliau juga memberi perhatian serius kepada cadangan mewujudkan unit pengupayaan orang kurang upaya (OKU) yang akan diperhalusi dan dipanjangkan untuk tindakan membantu memperkasakan golongan itu dalam pelbagai sektor pekerjaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 November 2014 @ 7:44 AM