Kuala Lumpur: Isu ‘peremajaan parti’ menjadi topik hangat dalam perbahasan Pergerakan Pemuda UMNO yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, hari ini.

Beberapa perwakilan yang mengambil bahagian dalam perbahasan usul politik dan ucapan dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu sentiasa memberi tepukan dan teriakan gemuruh apabila isu itu dibahas.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ampang yang mewakili negeri Selangor, Muhammad Nizam Shith paling mencuri tumpuan apabila membangkitkan isu itu dalam perbahasannya.

Beliau berkata, ‘peremajaan’ bukanlah sesuatu yang baru dalam UMNO kerana kali pertama dia mendengar perkataan itu adalah pada Perhimpunan Agung UMNO 2010 dan pada persidangan berikutnya sehingga tahun ini.

Namun, katanya peremajaan yang dilaung-laung tidak kelihatan dalam UMNO sehingga kini dan menyifatkan ia hanya sebagai ‘penyedap telinga’ oleh pucuk pimpinan parti.

“Peremajaan bukan senang untuk dilakukan, kita bukan sahaja perlu mengumpul Pemuda dan Puteri di peringkat cawangan, bukan sahaja perlu menarik golongan muda, tetapi peremajaan perlu dilakukan serta-merta,” katanya yang mendapat tepukan gemuruh.

Di pertengahan ucapannya, Muhammad Nizam terhenti seketika apabila Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin memasuki dewan persidangan itu dan menerima tepukan gemuruh perwakilan.

Menyedari kehadiran pemimpin nombor dua parti itu, Muhammad Nizam mengulangi semula ucapannya berkenaan isu peremajaan parti bagi menarik perhatian Muhyiddin yang turut menyentuh perkara itu dalam ucapan perasmian serentak Perhimpunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri, semalam.

Isu sama turut disentuh perwakilan Johor iaitu Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ledang Shahrihan Jani yang menyatakan bahawa peremajaan dalam UMNO berlaku terlalu perlahan.

Katanya, peremajaan sepatutnya tidak disalah anggap sebagai menentang golongan pemimpin veteran, sebaliknya ia adalah usaha untuk berganding bahu dalam memantapkan perjuangan parti.

“Kita menyeru pemimpin UMNO tertinggi untuk bersikap lebih terbuka dengan landskap politik hari ini yang memerlukan perubahan,” katanya.

Beliau turut menarik perhatian apabila mencadangkan agar 45 peratus calon dalam pilihan raya umum akan datang diisi oleh Pemuda dan Puteri. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 7:46 PM