KUALA LUMPUR: Cabaran Pergerakan Pemuda Umno dalam menjayakan agenda ‘Peremajaan Parti’ ialah melahirkan pemimpin yang bersikap terbuka dan mampu menjiwai idealisme golongan muda.

Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun berkata sikap keterbukaan itu penting bagi membolehkan seseorang pemimpin itu memahami golongan itu berdasarkan sosio-politik dan keadaan rakyat berbilang kaum di negara ini

“Mereka (golongan muda) mahu pemimpin dapat menjiwai idealisme mereka. Jadi, sudah menjadi cabaran saya dan Ketua Pemuda (Khairy Jamaluddin), bagaimana kami dapat lahirkan pemimpin, dalam konteks pengkaderan, mereka yang ada sikap keterbukaan yang tinggi,” katanya hari ini.

Beliau, yang juga anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno berkata sikap keterbukaan itu juga mampu mendekatkan seseorang pemimpin kepada yang dipimpin.

Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan dasarnya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Umno 2014 hari ini, menegaskan Umno mesti melahirkan satu saf barisan generasi atau ‘Jil Umno’ yang merupakan pewaris kepimpinan parti, dengan roh perjuangan yang membara seperti hari pertama Umno ditubuhkan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 November 2014 @ 6:51 PM