Kuala Lumpur: Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sudah tiba masanya untuk parti itu merekayasa perubahan untuk terus kekal relevan mendepani zaman.

Muhyiddin berkata, ketika ini, Umno sedang dipintas gerakan yang lebih canggih dan sesuai dengan selera masa kini.

“Jika Umno ingin menjadi parti masa hadapan, maka citra Umno mestilah cocok dengan jiwa anak-anak muda Melayu, golongan profesional Melayu dan tidak lupa seluruh generasi muda yang berada di desa mahupun di kota.

“Mereka adalah pewaris perjuangan parti kita,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno 2014 yang bertemakan ‘Merekayasa Perubahan Mendepani Zaman’ di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.

Esok, ketiga-tiga sayap parti itu akan bersidang serentak sebelum disusuli Perhimpunan Agung Umno pada Khamis.

Berucap di hadapan hampir 3,000 perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri, Timbalan Perdana Menteri turut melontarkan soalan sama ada peremajaan Umno yang dibincangkan sejak sekian lama benar-benar berlaku di dalam parti.

Beliau turut mencadangkan agar Umno mempertimbangkan pemilihan parti dilaksanakan mengikut kehendak perlembagaan parti, dan tidak ditangguhkan selepas pilihan raya seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

Selain itu, Muhyiddin mencadangkan pindaan Perlembagaan Umno dilakukan tahun depan dengan memperuntukkan pindaan yang sesuai untuk membolehkan barisan pelapis muda menyumbang peranan dan khidmat bakti yang lebih besar kepada parti.

“Saya percaya Umno tidak akan berpecah sekiranya pemilihan diadakan. Pemimpin Umno tentunya cukup matang untuk menghadapinya. Saya sendiri akan sentiasa berdiri bersama-sama YAB Presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk merealisasikan perubahan dan peremajaan parti kita,” katanya.

Tidak hanya meminta golongan muda diberi peluang, Muhyiddin juga menyeru anggota Umno termasuk barisan kepimpinan di semua peringkat supaya bersedia berundur secara terhormat jika menjadi batu penghalang kepada peremajaan parti.

“Ini adalah seruan terakhir untuk UMNO. Do or be dead! Jangan letak kepentingan diri melebihi kepentingan parti,” tegasnya.

Muhyiddin juga mengingatkan anggota parti agar tidak terus tenggelam dalam pujaan dan pujian kelompok sendiri, sebaliknya harus bersama-sama merasai keresahan masyarakat dan berusaha mencari penyelesaian kepada permasalahan mereka.

“Ini zaman untuk kita meraih keyakinan rakyat, zaman untuk kita memimpin bangsa mengharungi cabaran yang semakin hebat. Hormat rakyat bukan sesuatu yang boleh dipaksa. Berusaha, berkhidmatlah kepada rakyat bagi mendapatkan hormat mereka kepada kita,” tegasnya.

Muhyiddin turut mengambil kesempatan menyuntik semangat perjuangan kepada anggota dengan mengingatkan asal-usul penubuhan Umno yang terbina dengan penuh rasa kasih dan sayang demi masa depan umat Melayu dan negara.

“Binalah keyakinan, tunjukkanlah keazaman, hamparkanlah harapan kepada bangsa Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya bahawa parti ini adalah pilihan terbaik buat mereka,” katanya.

Buat bangsa Melayu dan Bumiputera di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, Timbalan Perdana Menteri mahu mereka bersatu atas nama kewatanan dan kecintaan kepada negara.

“Kepada seluruh rakyat tanpa batas kaum dan fahaman, marilah kita menolak gerakan meracuni dan membenci sesama kita. Jangan kita biarkan negara ini runtuh hanya kerana umpan-umpan yang dilontarkan kepada kita oleh pihak luar,” katanya.

Muhyiddin turut menyeru anggota sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno agar memainkan peranan mendekati seluruh lapisan masyarakat, dan membawa mereka bersama-sama mendokong perjuangan parti.

Beliau juga melahirkan harapan agar seluruh bangsa Melayu dapat merenung nasib bangsa dan bangkit bersama-sama Umno merencana masa depan yang lebih berjaya.

“Saya percaya, dengan kekuatan tekad dan keazaman kita semua, dengan limpahan rahmat dan inayah Allah, Umno akan beroleh kekuatan dan keyakinan untuk melakukan perubahan dan pembaharuan, dan seterusnya mara membela agama, bangsa dan negara kita,” katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 11:12 PM