ANTARA perwakilan Puteri UMNO yang hadir pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini. FOTO Asyraf Hamzah
ANTARA perwakilan Puteri UMNO yang hadir pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini. FOTO Asyraf Hamzah
Ahmad Suhael Adnan


PUTERI UMNO mahu mengambil tanggungjawab untuk memastikan parti itu kekal relevan dalam suasana politik semasa, khususnya kepada generasi muda.

Ketuanya Datuk Zahida Zarik Khan berkata, Puteri UMNO perlu mengambil peranan melakukan anjakan paradigma dan menjadi suara memperjuangkan masalah wanita muda, penderitaan rakyat dan menegur kerajaan secara membina serta konstruktif.

Katanya, pihaknya menggariskan strategi '5S' dan '3P' sebagai teras pemerkasaan dalaman dan hala tuju baharu untuk kebangkitan sayap parti itu.

“Lima S iaitu solidariti, sinergi, survival, sukarela dan strategi akan menjadi anjakan paradigma kepada 'Puteri Bangkit' bagi menjayakan hala tuju pergerakan sayap ini.

“Tiga P iaitu pengkaderan, penguasaan media sosial dan penyemaian aktivisme sosial pula akan memastikan hala tuju Puteri UMNO yang lebih mendengar keluhan rakyat berbanding sekadar memberi ceramah kepada mereka.

“Pembangkang yang kuat dan digeruni bergantung kepada bagaimana kehebatan kita melakukan provokasi, eksploitasi politik dan menjadi juara dalam mengangkat isu-isu penderitaan rakyat, serta mengkritik apa sahaja dasar kerajaan dan pemerintah yang merugikan rakyat dan negara,” katanya.

AHMAD Zahid hadir bagi diambil keterangan di ibu pejabat SPRM Putrajaya, hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
AHMAD Zahid hadir bagi diambil keterangan di ibu pejabat SPRM Putrajaya, hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasarnya pada Persidangan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said serta Datuk Lokman Noor Adam, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Pengarah Ameerah PAS Husna Hashim.

Sementara itu, Zahida menggesa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menangani budaya 'warlord' dengan segera kerana ia mampu meruntuhkan kesepaduan parti, selain mendesak parti memberi takrifan kepada peremajaan parti yang mahu dilaksanakan.

“Puteri juga mendesak presiden memberikan kuasa autonomi kepada UMNO Sabah, selain mengambil tindakan drastik termasuk tindakan undang-undang, kepada wakil rakyat UMNO yang melompat keluar parti, sama ada menjadi Bebas atau menyertai parti lain,” katanya.

Dalam pada itu, Zahida berkata, UMNO kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerana kelemahan dalam menangani penipuan dan persepsi jahat yang digunakan pihak lawan untuk menyerang mereka.

“Penipuan persepsi ini melenyapkan apa jua kebaikan yang kita berikan selama ini, usaha kita seperti mendekati, menjaga kebajikan, mengambil berat kesusahan dan menguruskan pelbagai bencana yang menimpa rakyat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 September 2018 @ 1:22 PM