ANGGOTA bomba membantu penduduk menaiki bot penyelamat.
ANGGOTA bomba membantu penduduk menaiki bot penyelamat.
Oleh Muhamaad Razis Ismail dan Azlan Hafeedz

Kota Bharu: “Saya tak sangka banjir kali ini cepat dan kena pula pada tempoh saya sedang berpantang anak sulung,” kata Nor Aisyah Jaafar, 18, mangsa banjir dari Kampung Tiong, di sini.

Ibu muda itu yang baru 59 hari melahirkan bayi sulung, Mohamad Haikal Anaki Arshad ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Tiong selepas kediaman dihuni bersama ibu bapa dan suaminya ditenggelami air, sejak tengah malam semalam.

Ketika ditemui, Nor Aisyah bersyukur kerana proses pemindahan yang selesai pada jam 3 pagi itu berjalan baik dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Saya sekeluarga sedang tidur ketika jiran memaklumkan rumah kami ditenggelami air. Ketika itu jam 12 tengah malam dan mereka memaklumkan kami perlu berpindah kerana paras air yang membahayakan.

“Ketika meninjau sekeliling rumah juga saya terkejut kerana melihat dapur dan di belakangnya sudah ditenggelami air separas lutut.

“Saya kemudian terus bersiap, mengambil kelengkapan bayi dan beberapa keperluan lain sambil menunggu bot penyelamat yang tiba hampir jam 3 pagi,” katanya ketika ditemui di SK Tiong, di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 5:22 AM