NIK Som (kanan) bersama anak dan cucunya mengemas rumah selepas pulang, semalam.
NIK Som (kanan) bersama anak dan cucunya mengemas rumah selepas pulang, semalam.

Kota Bharu: “Alhamdulillah, cuaca semakin baik, air surut dan kami dapat pulang ke rumah tadi (semalam),” kata Nik Som Nik Suh, 53.

Dia antara 34 mangsa banjir Kampung Tiong, di sini yang dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tiong sejak Rabu lalu.

Bagaimanapun, semua mangsa di kawasan itu dibenarkan pulang, pagi semalam selepas air surut dan kediaman mereka selamat diduduki.

Nik Som berkata, dia pulang bersama dua anak, seorang menantu dan dua cucu yang masih bayi jam 4 petang.

“Lega dapat berada di rumah apatah lagi saya ada cucu yang baru berusia sebulan dan dua bulan.

“Memang sukar tinggal di pusat pemindahan. Syukurlah cuaca baik membolehkan air cepat surut.

“Kini masa mencuci rumah pula. Saya harap cuaca panas begini berterusan beberapa minggu lagi,” katanya yang sudah biasa menghadapi musim banjir disebabkan rumah bersebelahan tali air.

Dia juga sentiasa melakukan persiapan dengan menyimpan barang di tempat tinggi, setiap kali menjelang Oktober kerana bermulanya musim tengkujuh.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan Azhar Mohamed Yusof berkata, dua pusat pemindahan di Kota Bharu membabitkan 130 mangsa sudah ditutup, semalam.

“Pusat ini iaitu di SK Tiong yang menempatkan 34 mangsa dan SK Mulong dengan 96 mangsa ditutup tadi (semalam) dengan mangsa pulang secara berperingkat selepas makan tengah hari.

“Kini hanya tinggal SK Wakaf Raja, Pasir Puteh yang menempatkan 25 mangsa daripada lima keluarga,” katanya.

Beliau turut menjangkakan mangsa di daerah itu pulang beberapa hari lagi sekiranya cuaca baik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 November 2014 @ 5:12 AM