Suziana Zulkifli, 36, (kanan)  memangku bayinya yang berusia dua bulan keluar dari dewan Sekolah Kebangsaan Tiong, Kota Bharu.
Suziana Zulkifli, 36, (kanan) memangku bayinya yang berusia dua bulan keluar dari dewan Sekolah Kebangsaan Tiong, Kota Bharu.

Kota Bharu: Selepas lima hari tinggal di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Tiong, di sini, 42 mangsa banjir daripada sembilan keluarga gembira dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, semalam.

Pusat pemindahan berkenaan ditutup pada jam 11 pagi selepas air di kediaman semua mangsa dari tiga kampung iaitu Kampung Tiong, Taman Tiong dan Kampung Seribong, surut.

Penduduk, Rakiah Salleh, 54, berkata, dia tidak sabar bermalam di rumahnya selepas berpindah sementara di pusat berkenaan.

“Syukur Alhamdulillah, kami dapat pulang dan melihat kediaman yang lama ditinggalkan. Kami berharap selepas ini tidak perlu berpindah ke situ.

“Risau juga dengan keadaan rumah kerana ketika berpindah paras air sedang naik,” katanya ketika ditemui di SK Tiong, di sini, semalam.

Suri rumah, Che Saloma Salleh, 40, berharap banjir tidak berulang selepas ini kerana dia tidak mahu lagi berpindah.

“Kami sudah penat kerana dalam tempoh tidak sampai sebulan, sudah dua kali kami berpindah dan perlu menyimpan barang berharga ke tempat yang tinggi serta selamat.

“Harapan kami supaya sistem perparitan di kawasan ini diperbaiki secepat mungkin supaya banjir tidak berulang,” katanya.

Sementara itu, Pentadbir Mukim Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Tumboh, Wan Azizi Abdul Ghani berkata, semua mangsa dibenarkan pulang selepas mendapat kebenaran daripada pegawai daerah.

“Paras air di rumah penduduk surut sejak semalam, namun mereka diminta kekal di pusat pemindahan kerana ramalan Jabatan Meteorologi menjangkakan hujan lebat mulai semalam (kelmarin) sehingga esok (hari ini).

“Memandangkan hujan lebat tidak berlaku, pegawai daerah membenarkan mereka pulang hari ini (semalam),” katanya.

Harian Metro sebelum ini, melaporkan semua mangsa banjir berkenaan berpindah ke pusat pemindahan di SK Tiong sejak Jumaat lalu selepas kediaman mereka dinaiki air setinggi dua meter.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2016 @ 7:21 AM