Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Tiga puluh enam penduduk daripada lapan keluarga di Kampung Tiong dan Taman Tiong, di sini, ditempatkan di pusat pemindahan sementara selepas kediaman mereka dinaiki air sedalam dua meter.

Mangsa banjir berkenaan termasuk bayi perempuan berusia dua bulan dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tiong pada 2.30 petang tadi.

Penduduk berpindah buat kali kedua dalam tempoh 20 hari selepas kediaman mereka dinaiki air.

Ketua Polis Balai Nilam Puri, Sarjan Mejar A Rahman Ismail berkata, kediaman penduduk dinaiki air sejak 4 pagi tadi.

Katanya, penduduk memaklumkan kepada polis pada 1.30 tengah hari selepas air naik secara mendadak bermula 10 pagi.

"Polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat memindahkan mangsa dengan menggunakan satu bot bomba," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan 31 mangsa daripada tujuh keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di SK Tiong pada 3 Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2016 @ 4:55 PM
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat Kota Bharu bersama anggota polis membantu memindahkan mangsa banjir. FOTO Syamsi Suhaimi
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat Kota Bharu bersama anggota polis membantu memindahkan mangsa banjir. FOTO Syamsi Suhaimi