Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Seremban: Polis Belanda setakat ini mengumpul lebih 500 kilogram (kg) barangan peribadi milik mangsa nahas pesawat penerbangan MH17 di sekitar kawasan kejadian di timur Ukraine.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, beliau difahamkan wakil polis Belanda yang melakukan pencarian mendapat bantuan penduduk berdekatan mengesan dan mengumpul sebanyak mungkin barangan milik mangsa.

Beliau berkata, walaupun harapan tipis untuk masuk semula ke kawasan nahas sebelum musim sejuk Disember ini, polis tetap meletakkan harapan tinggi meneruskan operasi pencarian jika mempunyai peluang atau terpaksa menunggu sehingga musim bunga April tahun depan.

“Keadaan keselamatan dan cuaca di Ukraine tidak menyebelahi walaupun kita (pasukan penyiasat) bersedia masuk ke kawasan nahas jika mendapat arahan daripada rakan (penyiasat Belanda dan Australia).

“Sekarang ini musim hujan (di Ukraine), ladang tidak boleh masuk kerana becak dan menyukarkan operasi pencarian. Selepas musim hujan, musim sejuk dan bersalji, jadi tidak mungkin kita dapat buat pencarian,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penghormatan Kepada ‘Unsung Heroes’ Pasukan Penyelamat MH17 di Dewan Terbuka D’Sury Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Ampangan, di sini, semalam.

Khalid berkata, pasukan penyiasat berusaha memasuki ladang ternakan ayam berdekatan lokasi nahas iaitu tempat dipercayai sebahagian daripada pesawat itu terbakar bersama-sama beberapa mangsa lagi.

“Kita sudah meminta rakan dari Ukraine untuk pastikan kawasan itu tidak dicerobohi untuk kita jalankan siasatan selepas ini,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Oktober 2014 @ 5:13 AM