Penternak, Hasnita Abd Malik menyuap nasi putih pada 'Denda' kambing kampung setiap hari di Kampung Beluru, Nenasi. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Penternak, Hasnita Abd Malik menyuap nasi putih pada 'Denda' kambing kampung setiap hari di Kampung Beluru, Nenasi. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Pekan: Seekor kambing betina bernama 'Denda' menjadikan nasi putih sebagai hidangan istimewa yang perlu disuap pemiliknya setiap hari sejak dua tahun lalu.

Pemiliknya, Hasnita Abd Malik, 45, berkata, dia perlu menyuap nasi pada kambing itu dua kali sehari iaitu pagi dan petang.

Menurutnya, selain makan nasi, 'Denda' dan anaknya juga makan roti, palet dan rumput yang terdapat dalam kawasan rumahnya di Kampung Beluru, Nenasi, dekat sini.

Dia yang sebelum ini memiliki lebih 20 kambing berkata, dia meluangkan masa antara 10 hingga 15 minit setiap kali menyuap haiwan terbabit yang dilepaskan bebas dalam kawasan rumahnya yang berpagar.

"Denda dan anaknya seolah faham waktu saya akan menyuapnya. Pada 10 pagi dan 4 petang, ia akan berbunyi sambil menunggu untuk disuap di luar rumah.

"Dua ekor kambing berkenaan menjadi penyeri rumah tangga saya dan suami, Hasyim Ismail, 53, kerana kami masih tidak lagi dikurniakan cahaya mata, haiwan itu boleh dikatakan manja dengan kami," katanya, di sini, semalam.

Dia berkata, sejak menjadikan nasi putih sebagai hidangan tambahan setiap hari, haiwan berkenaan tidak pernah mengalami masalah sakit perut malah dia lebih cepat membesar dan tidak mudah dijangkiti penyakit.

Hasnita berkata, dia dan suami meneruskan tradisi ibu dan arwah bapanya yang sebelum ini pernah menternak lebih 50 kambing baka kampung namun selepas kejadian curi yang berlaku menyebabkan dia sekeluarga tidak lagi menternak pada skala besar.

Menurutnya, harga palet yang meningkat setiap tahun turut menyebabkan dia tidak lagi menternak kambing dalam jumlah yang banyak walaupun permintaan bertambah.

"Memadai saya memiliki dua ekor kambing saja sebagai memenuhi minat selain mengisi masa lapang, walaupun terpaksa menyediakan nasi putih setiap hari namun itu tidak menimbulkan masalah besar buat saya dan suami.

"Rezeki kami dikongsi dengan Denda dan anaknya, saya yakin rezeki kami yang disediakan Yang Maha Esa semakin bertambah dengan cara bersedekah pada haiwan," katanya yang turut memelihara beberapa kucing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 11:27 AM