Nor Sara Adibah, 29, sebelum ini membuat perkongsian mencari seorang jururawat masyarakat di wad bersalin Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang di TikTok yang mendapat perhatian netizen, baru-baru ini. Perkongsian itu membawanya berhubung dengan wanita berkenaan. FOTO Ihsan Nor Sara Adibah
Nor Sara Adibah, 29, sebelum ini membuat perkongsian mencari seorang jururawat masyarakat di wad bersalin Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang di TikTok yang mendapat perhatian netizen, baru-baru ini. Perkongsian itu membawanya berhubung dengan wanita berkenaan. FOTO Ihsan Nor Sara Adibah
Noor Hidayah Tanzizi


Klang: "Saya terharu dengan kerendahan hati jururawat itu apabila datang meminta maaf selepas berlaku sedikit salah faham antara kami serta layanan baiknya ketika saya berada di hospital," kata Nor Sara Adibah Sulaiman.

Nor Sara Adibah, 29, sebelum ini membuat perkongsian mencari seorang jururawat masyarakat di wad bersalin Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, di TikTok yang mendapat perhatian netizen, baru-baru ini.

Anggota polis bantuan itu berkata, dia berusaha mengesan jururawat berkenaan untuk memberi hadiah kepada wanita yang dikenali sebagai Ana atas budi baiknya.

Menurutnya, sebelum dibenarkan pulang ke rumah pada 5 April lalu, dia mencari jururawat berkenaan, namun gagal berjumpa.

"Saya bersalin anak kembar lelaki secara pembedahan pada 3 April lalu dan seorang anak dimasukkan ke Unit Rawatan Intensif Neonatal (NICU) kerana pernafasannya laju dan perlu menggunakan alat bantuan oksigen.

"Ketika itu saya melawat anak dan berlaku sedikit salah faham dengan jururawat masyarakat berkenaan dan teguran dia membuatkan saya sedikit emosi," katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, dia yang tersentak dengan teguran itu menangis di katil sebelum jururawat berkenaan datang memujuknya dan turut meminta maaf jika membuatkannya terasa hati.

"Jururawat berkenaan menerangkan tegurannya dan dia turut memeluk saya meminta saya bertenang. Dia juga banyak membantu saya ketika waktu kerjanya selain beri semangat kerana anak saya berada di NICU ketika itu.

"Selalu kita dengar cerita jururawat marah-marah, tetapi Ana berbeza (kerana dia datang meminta maaf dan memberi penjelasan mengenai tegurannya)," katanya.

Katanya, dia yang tidak dapat berjumpa jururawat masyarakat itu membuat perkongsian di TikTok untuk mencarinya di media sosial sebelum seorang rakan jururawat itu membantunya.

"Kami berhubung melalui Instagram dan saya bersyukur dapat berhubung dengan jururawat masyarakat itu.

"Saya nak cari dia di hospital, ada kekangan kerana masih dalam pantang ketika itu dan tak sangka dapat jumpa juga di media sosial.

"Justeru, saya bercadang berjumpa jururawat itu pada bulan depan untuk menyerahkan hadiah kepadanya dan jururawat lain di wad berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 11:38 AM