Kota Bharu: Pasukan penyiasat akan menyambung semua siasatan di kawasan nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 di timur Ukraine dalam masa terdekat.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Ukraine dan kumpulan pemisah sudah memberi persetujuan membenarkan pasukan penyiasat memasuki kawasan berkenaan.

Katanya, pasukan penyiasat kini bersiap sedia memasuki lokasi kejadian pada bila-bila masa walaupun pada musim sejuk.

“Ukraine dan pihak pemisah sudah memberi persetujuan kita masuk ke lokasi nahas dalam tempoh seminggu dua ini.

“Kini kita sedang menunggu lampu hijau dari pihak berkuasa di sana untuk memasuki lokasi kejadian,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Majlis Keselamatan Jalan Raya ke-55, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Datuk Abdul Fattah Mahmood dan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Datuk Tam Weng Wah.

MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal terhempas selepas ditembak di Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai lalu selepas berlepas dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Sebelum ini pasukan penyiasat berdepan kesukaran memasuki lokasi kejadian berikutan konflik pasukan pemisah dengan tentera kerajaan Ukraine masih berterusan.

Mengulas lanjut, Liow berkata, usaha memasuki lokasi kejadian penting untuk mengumpul bukti dan serpihan pesawat itu bagi melengkapkan siasatan.

“Apabila semua bahan bukti itu diperoleh, ia akan dibawa ke Belanda untuk siasatan lanjut.

“Jika boleh kita mahu membawa keluar semua serpihan pesawat itu untuk dibina semula bagi memudahkan pasukan penyiasat mendapat gambaran lebih jelas di mana dan bagaimana ia ditembak,” katanya.

Mengulas mengenai tindakan keluarga yang memfailkan saman terhadap kerajaan dan MAS berhubung kehilangan MH370, Liow berkata, kerajaan menghormati hak keluarga itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 7:51 AM