Amsterdam: Serpihan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 yang dikutip dari tempat nahas di Donetsk, Timur Ukraine dicantum untuk tujuan siasatan di sebuah pangkalan tentera udara di Belanda.

Menurut laporan pihak berkuasa keselamatan Belanda, serpihan yang dikutip perkhidmatan kecemasan Ukraine di bawah selian pakar Belanda di kawasan yang dikuasai pemberontak pro-Rusia akan diangkut ke pangkalan tentera udara berkenaan minggu depan.

Serpihan pesawat Boeing 777 itu yang ditembak jatuh pada 17 Julai lalu terbiar berbulan-bulan di tempat nahas berikutan kesukaran pasukan penyiasat memasuki kawasan berkenaan kerana pertempuran antara tentera Ukraine dengan kumpulan pemberontak pro-Rusia.

“Kementerian Pertahanan menguruskan pengangkutan membawa serpihan pesawat MH17 ke tempat itu mulai hari ini,” kata Lembaga Keselamatan Belanda dalam satu kenyataan semalam.

Bagi cebisan mayat mangsa yang baru dijumpai dalam operasi pencarian pula dibawa ke pangkalan tentera lain untuk pengecaman.

Semua 298 penumpang dan anak kapal terbunuh dalam tragedi itu dengan separuh daripadanya adalah warga negara Belanda.

Ketika kejadian, penerbangan itu dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. – REUTERS

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Disember 2014 @ 8:49 AM