PASUKAN penyiasat membuat parameter di kawasan nahas, semalam.
PASUKAN penyiasat membuat parameter di kawasan nahas, semalam.

Putrajaya: Pasukan penyiasat antarabangsa yang melakukan misi pencarian di lokasi nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 di Donetsk, timur Ukraine kelmarin menemui serpihan tengkorak serta tulang rusuk manusia pada hari pertama operasi dilaksanakan.

Selain penemuan lebih 50 serpihan tulang itu, pasukan berkenaan turut menemui cebisan pesawat MH17 yang sudah lebur di kawasan nahas berkenaan.

Komander Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) Asisten Komisioner Polis Hussein Omar Khan berkata, ada juga sebahagian serpihan yang ditemui tertanam kira-kira 30 sentimeter (cm) di bawah tanah, sekali gus menyebabkan tugas pencarian perlu dilakukan dengan berhati-hati dan teliti.

“Dalam tugasan ini, kita tidak menggunakan sebarang alat khusus walaupun diakui tugas pencarian ini semakin sukar kerana tragedi ini sudah berlaku kira-kira sembilan bulan lalu.

“Malah, serpihan tulang yang ditemui juga amat kecil dan logam cebisan pesawat sudah hancur lebur akibat kebakaran berlaku ekoran tragedi ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Pasukan penyiasat antarabangsa itu terdiri daripada 25 anggota termasuk Pasukan DVI Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan polis Belanda.

Sementara itu, Hussein berkata, serpihan tulang dan cebisan pesawat MH17 yang ditemui akan dihantar ke Belanda pada 2 Mei depan untuk dianalisis selain menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Dari segi keselamatan, beliau berkata, misi pencarian yang bermula dari jam 9 pagi hingga 4 petang itu terjamin dengan bantuan daripada pihak keselamatan Donetsk serta Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE).

“Cuaca di sana juga agak baik dan suhu antara lapan hingga 12 darjah Celcius. Bagaimanapun, ia masih sejuk dengan keadaan angin kuat.

“Misi pencarian ini akan diteruskan sehingga 28 April ini,” katanya.

Pada 10 April lalu, seramai tujuh anggota PDRM terdiri daripada anggota DVI dan forensik berlepas ke Ukraine bagi menyambung semula tugas pencarian baki mayat dan cebisan pesawat MH17.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2015 @ 5:19 AM