PEMAIN Slovenia meraikan jaringan penyamaan untuk mengikat Denmark 1-1. FOTO Agensi
PEMAIN Slovenia meraikan jaringan penyamaan untuk mengikat Denmark 1-1. FOTO Agensi
AFP

Stuttgart, Jerman: Pengendali Slovenia, Matjaz Kek puas apabila anak didiknya mengikat Denmark 1-1 dalam aksi Kumpulan C Euro awal pagi tadi.

Jelas Kek, kemampuan pasukannya mengikat Denmark membuktikan betapa pemainnya sememangnya layak beraksi di pentas tertinggi Eropah itu.

"Saya fikir keputusan ini realistik. Mungkin kami menunjukkan rasa hormat yang terlalu tinggi kepada mereka pada babak pertama dan kemudian pada separuh masa kedua kami berjaya mengatasinya," kata Kek.

Jaringan Erik Janza pada minit ke-77 memberikan Slovenia satu mata dalam penampilan pertama mereka di Kejuaraan Eropah sejak penampilan sulung pada 2000.

Ia memadam jaringan awal Denmark yang diledak Christian Eriksen iaitu hampir tiga tahun selepas dia mengalami serangan jantung ketika kejohanan sama pada edisi 2020.

"Beberapa pemain belum bermain dalam pertandingan yang begitu besar," kata Kek. "Apabila mereka melihat boleh bermain, mereka mula yakin.

"Saya berasa kami kurang motivasi selepas dibolosi, namun kami akan belajar daripada situasi itu untuk perlawanan lain".

Mereka akan berdepan Serbia di Munich, Khamis ini sebelum menamatkan kempen Kumpulan C menentang England pada 25 Jun di Cologne.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 11:33 AM