PLOT yang terlalu pendek juga menjadikan sekuel terbaharu ini adalah yang paling teruk pernah diterbitkan dalam siri COD.
PLOT yang terlalu pendek juga menjadikan sekuel terbaharu ini adalah yang paling teruk pernah diterbitkan dalam siri COD.
Muhammad Saufi Hassan


MENGECEWAKAN! Itu satu perkataan yang dapat disimpulkan kepada mod permainan kempen untuk Call of Duty Modern Warfare 3 (COD:MW3) yang dilihat terlalu cepat dan mengubah mekanik permainan berkenaan.

Pengenalan kepada mod kempen menggunakan mekanik 'Warzone' dilihat tidak kena, sekali gus 'mematikan selera' penulis untuk meneruskan permainan.

Sekuel permainan Call of Duty sangat sinonim dengan karakter seorang askar elit dalam pasukan khas menentang keganasan, namun elemen itu seakan-akan lenyap dalam siri baharu COD:MW3 gara-gara mekanik 'Open War' yang diperkenalkan.

Rata-rata peminat sekuel permainan berkenaan meluahkan rasa tidak puas hati kepada penerbit iaitu Activision dan pembangun yang seolah-olah melenyapkan daya penarik permainan itu yang sebelum ini menampilkan karakter pasukan khas tentera elit.

Pengenalan semula COD:MW3 ini juga serba tidak kena apabila durasi mod kempen begitu pendek dan dilihat sangat 'terkejar-terkejar' untuk sampai ke titik pengakhirannya.

Kebanyakan pemain juga lebih membandingkan kepada COD:MW3 2023 ini dengan sekuel terdahulu yang diterbitkan pada 2011 yang kaya dengan plot mod kempen dengan ciri-ciri peperangan yang mencemaskan.

Bagaimanapun, elemen itu langsung tidak berlaku pada COD:MW3 2023 dengan plot mod kempen yang 'kering,' pengubahsuaian mekanik permainan juga sangat 'memualkan'.

Penulis juga berasakan bahawa ini adalah sekuel permainan dalam klasifikasi 'tidak berhak untuk dibeli' kerana terlalu mengecewakan.

Menyentuh kepada plot keseluruhan sekuel ini, pemain memulakan mod kempen apabila watak utama penjahat iaitu 'Makarov' melepaskan diri daripada penjara dan mengetuai kumpulan tentera pengganas.

Sekuel Call of Duty ini terbangun daripada watak Makarov bersama-sama Jeneral Shepard yang mana kedua-duanya mempunyai misi peribadi sendiri.

Apabila menyentuh plot berkenaan, ada karakter yang terpaksa dimatikan dan kali ini, seorang anggota pasukan elit, John 'Soap' MacTavish menemui ajalnya pada peringkat akhir mod kempen.

Kematian 'Soap' berkenaan berikutan pergelutan dengan Makarov dan watak utama penjahat berkenaan melarikan diri dan pastinya disambung pada sekuel seterusnya iaitu Call of Duty Modern Warfare 4.

Jika pembangun permainan ini masih meneruskan mekanik permainan 'Open War' untuk Modern Warfare 4, penulis akan mengucapkan selamat tinggal untuk judul berkenaan kerana sudah kehilangan sengatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2023 @ 6:45 AM