Muhammad Saufi Hassan


PERKEMBANGAN sukan elektronik sejak beberapa tahun lalu menunjukkan perkembangan sangat positif sepanjang 2019 apabila segmen sukan baharu itu mula diiktiraf sebagai cabang terkini segmen sukan.

Ia juga menarik lebih banyak pembangun permainan untuk turut serta merancakkan industri berkenaan dan puluhan judul permainan baharu dilancarkan sejak Januari hingga Disember seterusnya memberi pelbagai reaksi kepada pengguna.

Aspek domestik pula, Malaysia tidak ketinggalan dalam perkembangan sukan elektronik apabila mampu menghantar wakil dan memenangi kejohanan e-Sport pelbagai peringkat termasuk pada Sukan Sea di Filipina, baru-baru ini.

Sukan baharu ini mempunyai potensi yang sangat besar malah pemain profesional e-Sport peringkat global sudah ramai bergelar jutawan dan suatu ketika dulu, ia bermula dengan hobi.

#ITMetro minggu ini menyenaraikan judul permainan terbaik sepanjang 2019 mengikut kategori.

Antaranya permainan terbaik secara keseluruhan, permainan terbaik dalam mod online, permainan mudah alih terbaik dan judul paling mengecewakan.

Dapatan ini hasil penilaian penulis, komen profesional di peringkat global dan maklum balas daripada pembaca berhubung sesuatu judul permainan.

Permainan terbaik 2019 - ‘Red Dead Redemption’ (Penilaian: 9.8/10)

Bermula sebagai judul permainan untuk konsol keluaran Sony iaitu PlayStation 4 sebelum pembangun permainan berkenaan mengembangkan siri itu kepada versi desktop beberapa bulan lalu.

Menampilkan latar masa ‘American Wild West’, ia menjadi daya penarik permainan ini selain faktor mekanik utama permainan yang menampilkan konsep dunia terbuka.

Konsep tiada ‘pintas masa’ atau ‘time travel’ dalam permainan ini bagi pemain untuk bergerak daripada titik A ke titik B menjadi penguat mekanik realiti yang ditampilkan oleh Rockstar Games.

Sebelum ini mungkin segelintir pemain melihat mekanik berkenaan akan mengurangkan daya tarik pemain, namun menerusi judul ini, Rockstar Games membuktikan jalan cerita, plot dan perkembangan watak mampu memberi keunikan kepada permainan.

Keupayaan kesan grafik juga sangat terperinci dan pemain yang menggunakan perkakasan kelas tinggi boleh menikmati hasil grafik sangat mengagumkan.

JUDUL Red Dead Redemption 2 diiktiraf permainan terbaik
JUDUL Red Dead Redemption 2 diiktiraf permainan terbaik

Permainan ‘Battle Royale’ terbaik 2019 - ‘Apex Legends’ (Penilaian: 9.5/10)

Pertaruhan Respawn Entertainment untuk melancarkan judul Apex Legends yang menggunakan latar masa TitanFall 2 membuahkan hasil apabila kebanyakan portal pengkritik permainan memberikan markah penuh kepada permainan ini.

Judul permainan ini bukan saja ditawarkan secara percuma malah keupayaan Respawn Entertainment untuk memastikan judul berkenaan relevan juga sangat mengagumkan.

Masalah utama bagi permainan percuma ini adalah bilangan pemain yang menggunakan perisian godam mengakibatkan ia kehilangan keseimbangan dalam mekanik permainan.

Respawn Entertainment bijak untuk melihat masalah awal ini dan melakukan sekatan kepada akaun pemain meragukan untuk memelihara permainan berkenaan.

PLOT dan jalan cerita mengagumkan menjadikan Call of Duty: Modern Warfare 2019 diiktiraf sebagai judul permainan yang melakukan penampilan semula paling berjaya .
PLOT dan jalan cerita mengagumkan menjadikan Call of Duty: Modern Warfare 2019 diiktiraf sebagai judul permainan yang melakukan penampilan semula paling berjaya .

Judul berkenaan juga mencatatkan rekod bilangan pemain paling tinggi dengan ratusan juta pemain aktif dan keseimbangan berkenaan memberi perkembangan positif kepada judul itu.

Permainan penampilan semula terbaik 2019 - ‘Call of Duty: Modern Warfare 2019’ (Penilaian: 9.2/10)

Francais siri ini pernah menjadi fenomena kepada industri permainan video sedekad lalu menerusi beberapa siri Modern Warfare dan judul berkenaan menjadi penanda aras kepada genre permainan penembak pandang pertama (FPS).

Infinity Ward kembali dengan siri COD: MW 2019 dan melakukan penerbitan semula atau ‘fresh reboot’ kepada siri berkenaan yang menjanjikan lebih realistik dalam dunia nyata.

Siri berkenaan bukanlah sekuel atau prekuel kepada siri terdahulu sebaliknya penceritaan semula kepada judul berkenaan dan garapan plot dibuat lebih kemas serta tersusun.

Kelebihan kepada permainan ini apabila kemajuan teknologi grafik memberi kelebihan apabila setiap kesan grafik dapat dihasilkan secara optimum.

Menyentuh aspek mod kempen, permainan ini masih mengekalkan permainan kempen solo tanpa peta dunia terbuka namun mempunyai gerakan strategi yang sangat mirip dengan tentera khas.

Pemain akan dapat merasai umpama seorang operator unit khas tentera menerusi senjata, gajet kelengkapan dan taktik serangan oleh karakter tidak dimainkan (NPC).

MOD Battle Royale terus mendapat tempat dalam kalangan pemain dan Apex Legends menewaskan dua judul lain iaitu PUBG dan Fortnite.
MOD Battle Royale terus mendapat tempat dalam kalangan pemain dan Apex Legends menewaskan dua judul lain iaitu PUBG dan Fortnite.

Permainan terbaik peranti mudah alih 2019 - ‘Call of Duty: Mobile’ (Penilaian: 9/10)

Portal pengkritik permainan meletakkan COD: Mobile sebagai pencabar utama PUBG: Mobile apabila judul berkenaan dilancarkan beberapa bulan lalu.

Judul itu yang turut dibangunkan oleh Tencent menampilkan mekanik permainan yang sama dengan PUBG: Mobile namun kelebihan kepada judul ini adalah ketelitian grafik.

Kesan grafik untuk peranti mudah alih bagi permainan ini sangat baik berbanding PUBG walaupun ia memerlukan telefon pintar mudah alih yang maju untuk membolehkan tetapan grafik tinggi dimainkan.

Pastinya untuk tahun depan, segmen permainan mudah alih akan terus rancak dengan kepelbagaian judul termasuk mod permainan.

Kekuatan permainan mudah alih adalah berdasarkan kepada mekanik permainan yang ditonjolkan termasuk keupayaan pembangun untuk membawakan kelainan berbanding judul lain.

Permainan paling mengecewakan 2019 - ‘Anthem’ (Penilaian: 3.5/10)

Judul ini pernah disebut-sebut sebagai calon ‘Judul Permainan Terbaik’ tahun ini, namun sejak pelancarannya wujud pelbagai masalah bermula daripada kapasiti pelayan yang amat teruk.

Tidak sampai tiga bulan sejak judul berkenaan dilancarkan, beberapa portal pengkritik sudah meletakkan permainan itu sebagai ‘judul mati’ berikutan kehilangan pemain yang sangat drastik.

Kebanyakan pemain pula menzahirkan rasa kecewa apabila judul berkenaan tidak seperti yang diharapkan sebaliknya mempunyai masalah yang tidak henti.

Pemain yang meletakkan fail permainan kepada sistem storan cakera keras (HDD) akan menghadapi masalah sistem terhempas sebaliknya perlu menggunakan storan jenis SSD atau m.2 NVMe.

KONSEP permainan yang menampilkan umpama ‘Iron Man’ gagal untuk memberi kejayaan bagi judul Anthem apabila wujud pelbagai masalah teknikal serta plot permainan yang mendatar.
KONSEP permainan yang menampilkan umpama ‘Iron Man’ gagal untuk memberi kejayaan bagi judul Anthem apabila wujud pelbagai masalah teknikal serta plot permainan yang mendatar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Disember 2019 @ 1:10 PM