SATU nafas baharu untuk siri permainan Call of Duty: Modern Warfare 2019.
SATU nafas baharu untuk siri permainan Call of Duty: Modern Warfare 2019.
Oleh Muhammad Saufi Hassan


SATU nafas baharu untuk siri permainan ‘Call of Duty: Modern Warfare 2019’.

Siri permainan ini dilancarkan secara global Jumaat lalu dan ia antara judul permainan paling fenomena sejak sedekad lalu.

Judul terakhir siri berkenaan menemui peminatnya kira-kira lapan tahun lalu iaitu pada November 2011 dan selepas itu tiada lagi pengeluaran siri baharu sehingga COD:MW 2019.

Selepas penerbitan COD:MW 3, siri berkenaan menyepi daripada peminat dan kini lambakan permainan yang menonjolkan konsep dunia terbuka (open map) menjadi pilihan dan bukan lagi kempen permainan perseorangan.

Bagaimanapun, COD:MW 2019 ini bukanlah sambungan siri keempat daripada generasi ‘Modern Warfare’ sebaliknya ia pembikinan semula dan bukan sekuel kepada permainan sebelum ini.

Berdasarkan kepada kenyataan pembangun COD:MW 2019 iaitu Infinity Ward, judul berkenaan adalah penggambaran semula siri Modern Warfare sekali gus menetapkan semula jalan cerita daripada siri Modern Warfare.

COD:MW 2019 dilancarkan Jumaat lalu.
COD:MW 2019 dilancarkan Jumaat lalu.

Infinity Ward ketika memperlihatkan sedikit sedutan permainan itu juga menyatakan jalan cerita COD:MW 2019 direka semula supaya mewujudkan elemen lebih logik, realistik termasuk membawa kembali beberapa karakter popular daripada siri berkenaan.

Penulis berasakan peminat COD:MW pastinya dapat melihat semula beberapa karakter yang dimatikan menerusi tiga sekuel permainan dan lebih menarik, permainan ini menetapkan karakter utama adalah Kapten John Price.

Karakter lain yang mungkin ditampilkan semula seperti watak ‘Ghost’, Kapten ‘Soap’ MacTavish, Sarjan Gary ‘Roach’ Sanderson dan beberapa watak lain.

Selain itu, buat pertama kalinya, judul berkenaan menampilkan sokongan permainan pelbagai platform untuk Desktop, PlayStation 4 dan XBOX One.

Bagaimanapun, Infinity Ward menyatakan permainan sokongan pelbagai platform ini boleh dipilih oleh pemain sama ada mahu menghidupkan pilihan berkenaan atau bermain dengan platform yang sama saja.

Bagi mod permainan dalam talian (multiplayer), mod pelbagai permainan ini memberi kelebihan kepada pemain menerusi platform desktop kerana ia lebih mudah mengawal sasaran menggunakan tetikus berbanding alat kawalan.

Pembangun permainan itu menerangkan bahawa pemain boleh memilih ketika di lobi pencarian permainan sama ada mahu memilih mod pelbagai platform atau mematikan pilihan berkenaan.

Tujuan mod itu diperkenalkan kerana mahu lebih ramai pemain bermain di dalam satu-satu masa serta memberi cabaran kepada pemain.

COD:MW 2019 juga melancarkan siri percubaan bulan lalu dan maklum balas yang diterima sangat baik apabila rata-rata pengkritik menyukai mekanikal permainan serta memperkenalkan sistem ganjaran pertempuran seperti pengeboman dron, dron pemantau dan pelbagai lagi.

Menyentuh mod kempen pula, MW 2019 akan mempunyai beberapa misi di Timur Tengah, Eropah dan beberapa lokasi lain termasuk memainkan karektor sebagai askar pasukan khas dengan peralatan canggih masa kini.

BEBERAPA mod permainan dalam talian turut diperkenalkan.
BEBERAPA mod permainan dalam talian turut diperkenalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 9:49 AM