PENTINGNYA pengambilan nutrien dalam diet untuk kekal sihat. - Gambar hiasan
PENTINGNYA pengambilan nutrien dalam diet untuk kekal sihat. - Gambar hiasan
Intan Mas Ayu Shahimi

Syarikat nutrisi global perdana, Herbalife, baru-baru ini menerbitkan hasil Tinjauan Penuaan Sihat Asia Pasifik yang mendedahkan pandangan mengenai kebimbangan dan sikap pengguna berkaitan penuaan di rantau ini.

Tinjauan itu dilaksanakan dengan kerjasama 6,000 responden berusia 40 tahun ke atas di 12 negara di Asia Pasifik termasuk 500 dari Malaysia.

Hasil tinjauan kemudian menunjukkan walaupun majoriti pengguna bimbang mengenai masalah kesihatan disebabkan penuaan dan percaya langkah aktif boleh diambil untuk membantu mereka melalui proses itu secara sihat, namun ramai yang mengambil mudah mengenai pengambilan nutrisi yang baik.

Menurut hasil tinjauan, 480 individu daripada 500 responden tempatan mengambil berat mengenai potensi kesihatan disebabkan proses penuaan.

Seramai 59 peratus responden pula menyatakan isu berkaitan tulang atau sendi, jantung dan otak (50 peratus) menjadi antara perkara yang paling merisaukan mereka.

Walaupun tahap kebimbangan ditunjukkan tinggi, 84 peratus daripada responden bersetuju mereka boleh mengambil langkah proaktif untuk melalui proses penuaan yang sihat.

Antara pilihan responden tempatan adalah membabitkan diri dalam aktiviti fizikal (41 peratus), membuat pilihan nutrisi yang lebih baik (27 peratus), mengambil makanan tambahan (10 peratus) dan menjalani pemeriksaan kesihatan secara kerap dan teratur (8 peratus).

Pengarah Kanan dan Pengurus Besar Sub-Wilayah Herbalife Nutrition Malaysia dan Singapura, Sridhar Rajagopalan berkata, pihaknya gembira melihat majoriti pengguna Malaysia menyedari potensi masalah kesihatan disebabkan penuaan.

PEMAKANAN yang baik perlu untuk hidup sihat pada hari tua.
PEMAKANAN yang baik perlu untuk hidup sihat pada hari tua.

“Bagaimanapun, kami bimbang apabila mendapati pemilihan pemakanan yang lebih baik kurang dititikberatkan dalam senarai langkah yang mungkin diambil oleh pengguna untuk membantu meningkatkan kualiti hidup mereka seiring peningkatan usia,” katanya.

Perkara itu disokong Pengurus Besar Herbalife Nutrition Malaysia, Steven Chin.

Katanya, orang ramai tidak seharusnya berkompromi dalam pengambilan nutrisi yang baik.

“Sebab itu kami mengambil inisiatif menggandakan usaha membantu pengguna memahami peranan nutrisi yang penting dalam menggalakkan proses penuaan yang sihat,” katanya.

Bongkar realiti

Selain mendedahkan pandangan mengenai masalah kesihatan yang berkaitan dengan penuaan dan langkah sedia diambil pengguna Malaysia untuk menghalangnya, tinjauan ini turut membongkar beberapa perkara berikut:

• Apabila ditanya mengenai persepsi responden mengenai keadaan kesihatan mereka, 87 peratus responden menganggap diri mereka sama sihat atau lebih sihat daripada yang lain.

• Berkenaan kesihatan jantung, mereka menunjukkan tahap keyakinan yang lebih tinggi mengenai kesejahteraan mereka, sekali gus menimbulkan risiko bahawa mereka mungkin membuat jangkaan yang berlebihan.

• Ketika menjelaskan halangan terbesar untuk menjalani proses penuaan yang sihat, rata-rata mengakui kekurangan masa (51 peratus) dan kurang motivasi (44 peratus).

Di Malaysia, prevalens (kadar penyebaran penyakit) obesiti semakin meningkat di semua peringkat umur termasuk warga emas. Kelompok yang ditakrifkan sebagai mereka yang berusia melebihi 65 tahun ini berdepan semakin banyak risiko.

Individu yang gemuk berisiko tinggi untuk menghidap diabetes, penyakit jantung, pelbagai jenis kanser, nyanyuk dan beberapa masalah kesihatan lain. Sama ada suka atau tidak, menjadi obes juga boleh mempercepatkan proses penuaan seseorang.

Kesan kesihatan akibat berat badan berlebihan boleh menjejaskan sendi hingga sukar dan tidak selesa untuk bergerak aktif. Selain itu, kegemukan juga boleh menjejaskan permulaan dan perkembangan proses penuaan otak.

Tahun lalu, Herbalife Nutrition sempat melancarkan Lawatan Kesejahteraan Asia Pasifik yang kelapan untuk berkongsi petua mengenai cara menjalani kehidupan aktif yang sihat.

Masih memfokuskan kepada proses penuaan yang sihat, lawatan itu menampilkan siri simposium perubatan, ceramah nutrisi dan bengkel kesihatan yang diadakan di bandar di Malaysia, Hong Kong, Indonesia, India, Korea, Macau, Kemboja, Filipina, Singapura, Taiwan dan Thailand.

Turut mengunjungi Malaysia buat kali kedua adalah Dr Wang Chin-Kun. Pakar dalam bidang metabolisme dan nutrisi ini pernah diangkat sebagai penerima Anugerah Bioperubatan Kebangsaan di Taiwan pada 2008 atas sumbangannya kepada pendidikan perubatan.

Beliau berkongsi nasihat pakar mengenai bagaimana obesiti boleh menjejaskan proses penuaan sebenar dan petua melalui proses penuaan secara sihat.

DR Wang Chin-Kun
DR Wang Chin-Kun

“Kami berpegang kepada pendekatan proaktif untuk membantu orang memupuk tabiat pemakanan yang baik, menggabungkan aktiviti fizikal secara tetap, mengambil makanan tambahan yang betul dan menjadualkan pemeriksaan kesihatan secara berkala untuk kesejahteraan diri mereka sendiri.

“Justeru, sepanjang Lawatan Kesejahteraan Asia Pasifik, kami komited berkongsi pelbagai petua dan nasihat berguna untuk membantu warga Malaysia memanfaatkan kuasa nutrisi bagi mengelak isu penuaan demi kehidupan yang lebih memuaskan,” katanya.

Melengkapkan kalendar lawatan, syarikat itu memperkenalkan rasa baru dalam rangkaian Herbal Aloe Concentrate iaitu Herbal Aloe Concentrate Mix perisa mangga.

Campuran minuman ini cukup menyegarkan. Ia diperbuat daripada lidah buaya tanpa sebarang perasa tiruan atau pemanis, mengandungi enzim dan vitamin yang direka khusus untuk minuman rasa tropika yang enak serta menyegarkan.

“Minuman ini mempunyai pelbagai manfaat termasuk melegakan perut, membantu pencernaan dan menyokong penyerapan mikronutrien. Ia adalah pengganti yang sihat untuk membantu kita mengurangkan pengambilan gula, sekali gus memastikan kita berada di landasan yang betul untuk mencapai gaya hidup yang sihat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 12:58 PM