BERBINCANGLAH dengan doktor anda untuk mengetahui jika anda berisiko mengalami osteoporosis bagi mengenal pasti langkah penjagaan, pencegahan yang sesuai untuk menjaga kesihatan tulang.
BERBINCANGLAH dengan doktor anda untuk mengetahui jika anda berisiko mengalami osteoporosis bagi mengenal pasti langkah penjagaan, pencegahan yang sesuai untuk menjaga kesihatan tulang.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


MASIH ramai masyarakat di negara ini yang kurang arif mengenai kesihatan tulang dan masalah osteoporosis.

Ia adalah penyakit sistemik di mana tulang menjadi lemah dan rapuh, kerap kali berlaku dalam kalangan warga emas.

Osteoporosis biasanya tidak mempunyai gejala sehingga fraktur berlaku. Bahagian tulang yang kerap terjejas adalah tulang pergelangan tangan,tulang spina dan tulang pinggul.

Justeru, bagi memberi lebih maklumat mengenai kesihatan tulang, Bone Health Alliance Malaysia (BHAM) melakukan tinjauan bermula September tahun lalu hingga Julai lalu untuk menilai kesedaran dan pengetahuan rakyat Malaysia mengenai kesihatan tulang, osteoporosis, persepsi mengenai osteoporosis, tabiat gaya hidup serta corak tingkah laku.

BHAM adalah kerjasama yang diwakili Persatuan Kesedaran Osteoporosis Kuala Lumpur dan Selangor (OASKLS), Rangkaian Fraktur Kerapuhan Malaysia (FFNM) dan Persatuan Osteoporosis Malaysia (MOS) dengan Amgen Malaysia sebagai rakan kongsi korporat.

Tinjauan yang dilakukan melalui luar talian dan dalam talian itu merangkumi seramai 807 responden lelaki serta wanita daripada kumpulan umur 21 hingga 80 tahun dengan 60 peratus daripada mereka berumur lebih 50 tahun.

Hasil tinjauan mendapati 96 peratus responden tidak menyedari semua faktor yang boleh meningkatkan risiko osteoporosis seperti sejarah keluarga, status pasca menopaus, berat badan rendah, diet rendah kalsium, pengambilan kafein yang tinggi, alkohol atau merokok.

Malah tinjauan itu juga mendapati bahawa lebih daripada separuh (57 peratus) responden memandang remeh terhadap kelaziman osteoporosis dalam kalangan wanita.

Presiden Persatuan Osteoporosis Malaysia (MOS) dan Perunding Endokrinologi, Prof Dr Chan Siew Pheng berkata, osteoporosis adalah penyakit senyap tanpa gejala dan sering tidak disedari sehingga pesakit mengalami kepatahan tulang.

Kata Dr Siew Pheng walaupun tidak dapat merasakan tulang menjadi lemah namun memahami risiko mengenai osteoporosis akan membantu orang ramai membuat pilihan tepat.

PENYAKIT senyap tanpa gejala dan sering tidak disedari sehingga pesakit mengalami kepatahan tulang.
PENYAKIT senyap tanpa gejala dan sering tidak disedari sehingga pesakit mengalami kepatahan tulang.

Ia seperti memulakan penilaian kesihatan tulang secara berkala bagi mereka yang berusia 60 tahun ke atas terutama wanita bagi pengurusan kesihatan tulang optimum.

"Jika ada ahli keluarga yang mempunyai faktor risiko osteoporosis, pantau kesihatan tulang mereka," katanya.

Menurut Dr Siew lagi, berdasarkan hasil tinjauan, 82 peratus responden tidak menyedari bahawa mereka harus memulakan penilaian kesihatan tulang pada usia 60 tahun.

Manakala 77 peratus responden pula salah faham bahawa kesihatan tulang yang lemah (fraktur kerapuhan dan kehilangan ketinggian) adalah sebahagian daripada proses penuaan semula jadi.

Ia sekali gus mengesahkan kurangnya pengetahuan dalam kalangan rakyat Malaysia bahawa osteoporosis dapat dicegah melalui tabiat gaya hidup yang proaktif dan ada pilihan rawatan tersedia untuk keputusan lebih baik.

Kata beliau, tinjauan itu dilakukan untuk mengenal pasti jurang kesedaran mengenai kesihatan tulang dan osteoporosis dalam kalangan rakyat di negara ini.

"Ini kerana, dari segi sejarah, terdapat data yang terhad berkaitan dengan osteoporosis di Malaysia.

"Hasil tinjauan itu tidak hanya menyumbang ke arah membina pangkalan data maklumat tempatan tetapi dapat memperjelaskan lagi usaha untuk membimbing kesedaran terhadap kesihatan tulang yang disesuaikan dengan keperluan masyarakat Malaysia, " katanya.

Dalam pada itu, Presiden Rangkaian Fraktur Kerapuhan Malaysia yang juga Pakar Perunding Surgeri Ortopedik, Datuk Dr Lee Joon Kiong berkata, osteoporosis memberi kesan kepada lelaki dan wanita.

GAYA hidup sihat yang proaktif membantu mencegah masalah osteoporosis.
GAYA hidup sihat yang proaktif membantu mencegah masalah osteoporosis.

Bagaimanapun Kata Dr Lee, risiko golongan wanita adalah lebih tinggi kerana tahap hormon yang lebih rendah ketika menopaus dengan sekurang-kurangnya seorang daripada tiga wanita berusia lebih dari 50 tahun yang akan mengalami patah tulang osteoporotik pada suatu masa dalam hidup mereka.

"Justeru, penting untuk mendidik masyarakat mengenai peranan modifikasi gaya hidup melalui pengambilan nutrisi secara betul dan kekal aktif bagi memastikan kesihatan tulang yang baik, terutama dalam kalangan wanita serta warga emas," katanya.

Jelas Dr Lee lagi, dari segi pengambilan makanan pula, tidak seharusnya hanya tertumpu kepada kalsium tetapi juga protein iaitu nutrien utama untuk kesihatan tulang.

Katanya, Vitamin D juga adalah nutrien lain yang penting untuk kesihatan tulang.

"Ia boleh diperoleh daripada sinar matahari dan dalam jumlah yang terbatas daripada makanan.

"Oleh itu, amalkan gaya hidup sihat dan pastikan anda mendapat sekurang-kurangnya 10 hingga 20 minit pendedahan cahaya matahari setiap hari kerana ia sumber penting Vitamin D untuk memperkuat kesihatan tulang," katanya.

Sementara itu, BHAM juga mengadakan kempen maya 'Sayangi Tulang Anda' sebagai usaha meningkatkan minat masyarakat terhadap osteoporosis dan mengiktirafnya sebagai keutamaan dalam penjagaan kesihatan.

Kempen yang dilancarkan sempena Hari Osteoporosis Sedunia (WOD) pada 20 Oktober lalu bertujuan untuk mengatasi jurang dan salah tanggapan terhadap pengetahuan kesihatan tulang dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi serta penjaga mereka.

Selain itu, ia juga menekankan pentingnya gaya hidup sihat yang proaktif untuk mencegah osteoporosis.

Menurut Presiden Persatuan Kesedaran Osteoporosis Kuala Lumpur dan Selangor, Choo Yem Kuen, pihaknya mahu menggalakkan dan meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia mengenai tulang sambil mewujudkan perubahan tingkah laku positif dalam pengurusan kesihatan tulang, terutama ketika pandemik Covid-19.

Katanya, membentuk tabiat gaya hidup sihat penting untuk memastikan kesihatan tulang yang baik dan mencegah tulang retak dan rapuh. Sebagai contoh, ketakutan apabila terjatuh menjadi lebih ketara apabila individu bertambah tua.

"Paling penting, cegah diri daripada jatuh dan patah tulang ketika melakukan aktiviti seharian seperti berjalan atau bersenam.

"Berbincanglah dengan doktor untuk mengetahui jika anda berisiko mengalami osteoporosis bagi mengenal pasti langkah penjagaan, pencegahan yang sesuai untuk menjaga kesihatan tulang.

"Jadi, jangan tunggu sampai patah, periksa tulang anda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 6:05 AM